Facebook Bangunkan Ciri FaceID Untuk Aplikasi Messenger

Terdahulu, aplikasi pemesejan milik Facebook, WhatsApp sedia dilengkapkan dengan ciri sekuriti imbasan cap jari. Kini satu lagi platform pemesejan milik mereka akan diberikan ciri sekuriti biometrik berasaskan wajah pula.

Aplikasi yang dimaksudkan adalah Messenger dimana ciri tersebut sedang dibangunkan. Dikesan oleh pembangun Jane Manchun Wong, FaceID untuk aplikasi Messenger ini akan aktif mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Sama ada sejurus selepas meninggalkan aplikasi atau tempoh 1 minit, 5 minit, atau 1 jam selepas tidak menggunakan Messenger.


Berdasarkan penerangan dibawah bahagian tetapan ciri, pengguna masih boleh membalas mesej dan menjawab panggilan walaupun aplikasi masih dikunci. Selain itu, Facebook turut menyatakan data FaceID tidak akan dihantar keluar atau disimpan didalam pelayan mereka. Ini bermakna ia hanya disimpan pada telefon pintar itu sendiri.

Pengunaan nama "FaceID" mungkin mengelirukan dimana ia sama seperti ciri pada iPhone. Sewaktu mengesan ciri tersebut, Jane menyatakan beliau menggunakan peranti Android. Facebook mungkin bakal menggunakan nama lain apabila penawaran kepada umum dibuat kelak.