Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen, berkata pada Rabu bahawa sebuah aplikasi pengesahan umur yang dibangunkan EU telah sedia digunakan, ketika blok itu mempergiat usaha melindungi kanak-kanak daripada bahaya dalam talian.
Aplikasi itu dijangka dilancarkan dalam beberapa bulan akan datang dan bertujuan menggantikan sepanduk pop-up yang meminta pengguna mengesahkan mereka berumur lebih 18 tahun untuk mengakses laman kandungan dewasa, menurut pegawai EU.
“Aplikasi ini akan membolehkan pengguna membuktikan umur mereka ketika mengakses platform dalam talian. Sama seperti kedai meminta bukti umur bagi mereka yang membeli minuman beralkohol,” kata von der Leyen kepada wartawan di Brussels.
Brussels kini berdepan tekanan untuk memperkenalkan langkah lebih ketat bagi melindungi kanak-kanak dalam talian, apabila beberapa ibu negara EU meneruskan rancangan untuk melarang media sosial bagi kumpulan umur tertentu.
Sehubungan itu, sekumpulan kecil negara EU termasuk Perancis dan Itali tahun lalu mula menguji aplikasi semakan umur tersebut yang kini, menurut von der Leyen, telah “sedia dari segi teknikal”.
Aplikasi itu menggunakan model sama seperti semasa pandemik Covid-19, apabila Brussels membangunkan alat untuk membolehkan orang ramai membuktikan mereka telah divaksin ketika negara-negara mula dibuka semula selepas sekatan, katanya.
Apabila tersedia, pengguna boleh memuat turunnya daripada kedai aplikasi, menetapkannya menggunakan pasport atau kad pengenalan, dan kemudian menggunakannya untuk membuktikan umur mereka.
Peraturan digital EU mewajibkan laman web termasuk pornografi, perjudian dan penjual alkohol untuk melaksanakan “kaedah jaminan umur yang berkesan” bagi memastikan hanya orang dewasa mengakses halaman mereka.
Namun, Suruhanjaya Eropah berpendapat alat yang digunakan setakat ini masih tidak mencukupi.
Pada Mac, ia menuduh empat laman pornografi melanggar peraturan EU kerana membenarkan akses kanak-kanak bawah umur hanya dengan satu klik pengesahan umur 18 tahun.
“Disebabkan platform tidak mempunyai alat pengesahan umur yang betul, kami mencipta penyelesaian sendiri,” kata ketua digital EU, Henna Virkkunen.
Pegawai EU berkata aplikasi tersebut akan menjadi penanda aras untuk menilai pematuhan dan keberkesanan kaedah alternatif.
“Platform dalam talian boleh dengan mudah bergantung pada aplikasi pengesahan umur kami. Jadi tiada lagi alasan,” kata von der Leyen.
“Eropah menawarkan penyelesaian yang percuma dan mudah digunakan untuk melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya dan tidak sah.”
Aplikasi itu dikatakan “sepenuhnya tanpa nama” bagi memastikan pengguna tidak dapat dikesan ketika mengakses laman web, dan berasaskan kod sumber terbuka, membolehkan negara bukan EU menggunakannya jika mahu.
Alternatif lain perlu mematuhi piawaian privasi yang sama, kata Brussels.
“Kami tidak mahu platform mengimbas pasport atau wajah kami,” kata Virkkunen.
‘Menjengkelkan’
Aplikasi itu dijangka mula digunakan oleh tujuh negara EU yang telah menjalankan ujian rintis menjelang akhir tahun ini.
Apabila sistem ini dilaksanakan, pengguna yang mengakses laman dewasa dari Eropah mungkin diminta untuk mengesahkan identiti melalui aplikasi tersebut atau kaedah alternatif yang setara.
Seorang pegawai EU yang enggan dinamakan mengakui proses pengesahan itu mungkin dianggap “menjengkelkan”, tetapi berkata kesan gangguan terhadap pengalaman melayari internet adalah berbaloi jika ia dapat melindungi kanak-kanak.
Kebimbangan bahawa kanak-kanak dan remaja boleh memintas semakan menggunakan VPN atau meminta bantuan “kakak atau abang” adalah berasas, tetapi menurutnya ia tidak menepati tujuan utama.
Matlamatnya adalah untuk melindungi “kanak-kanak” daripada “pendedahan tidak sengaja kepada kandungan tidak sesuai”, bukan “mengawal orang ramai”, katanya.
Tekanan untuk tindakan di peringkat EU meningkat sejak Australia memperkenalkan larangan media sosial untuk bawah 16 tahun.
Perancis menjadi peneraju usaha ini bersama negara seperti Denmark, Greece dan Sepanyol — dengan rang undang-undang larangan untuk bawah 15 tahun sedang dibahaskan di parlimen Perancis.
Simeon de Brouwer daripada kumpulan hak digital EDRi berkata beliau meragui aplikasi itu akan “praktikal”, dan berpendapat adalah lebih baik menjadikan platform lebih sesuai untuk kanak-kanak daripada mengehadkan akses.
“Fokus kepada sistem had umur mengalihkan perhatian daripada isu sebenar: kekurangan akauntabiliti platform terhadap bahaya yang mereka reka dan mendapat keuntungan daripadanya,” katanya kepada AFP.
“Jika kita menangani punca sebenar bahaya, semua kekecohan tentang ‘alat pengecualian paling sesuai dan mesra privasi’ menjadi tidak relevan.”
EU yang terdiri daripada 27 negara mempunyai antara peraturan paling ketat di dunia dalam bidang digital, dengan beberapa siasatan sedang dijalankan terhadap kesan platform seperti Instagram dan TikTok terhadap kanak-kanak.
Von der Leyen telah menyokong idea had umur minimum seluruh EU, tetapi mahu mendapatkan pandangan pakar terlebih dahulu yang dijangka mengeluarkan cadangan menjelang musim panas.
“Tanggungjawab kita adalah melindungi kanak-kanak dalam dunia dalam talian, sama seperti di dunia nyata, dan untuk melakukannya dengan berkesan, kita memerlukan pendekatan Eropah yang diselaraskan,” katanya.
– AFP.
{suggest}
