Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis mengarahkan Google supaya berkongsi data dengan enjin carian lain serta membuka sistem Android kepada perkhidmatan AI pesaing. Namun, gergasi teknologi Amerika Syarikat itu berkata langkah berkenaan boleh menjejaskan privasi pengguna.
Tindakan terbaru Brussels itu merupakan sebahagian daripada usaha EU untuk memperkukuh kawal selia terhadap syarikat teknologi besar.
Arahan tersebut dibuat di bawah Akta Pasaran Digital (DMA) EU yang mewajibkan syarikat teknologi terbesar dunia membuka ekosistem mereka kepada persaingan bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna.
DMA menjadi isu pertikaian utama antara EU dan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mendakwa Brussels menyasarkan syarikat di negara itu secara tidak adil.
Menurut EU, Google perlu mula berkongsi data carian bermula Januari 2027, manakala pengguna Android akan mula menerima manfaat daripada perubahan tersebut pada Julai 2027.
“Dengan adanya langkah-langkah ini, kami berharap dapat melihat kemunculan alternatif kepada Google Search dan perkhidmatan AI Google seperti Gemini, sekali gus membolehkan pengguna di EU menikmati lebih banyak pilihan perkhidmatan,” kata Ketua Teknologi EU, Henna Virkkunen.
Sebagai contoh, EU berkata pengguna telefon Android sepatutnya boleh menggunakan chatbot AI pilihan mereka melalui arahan suara, sama seperti arahan “Hey Google”.
Isu privasi dipersoalkan
EU menyatakan perkongsian data carian itu akan membantu mewujudkan persaingan yang lebih seimbang, namun Google menolak langkah tersebut dengan alasan ia membawa “risiko luar biasa terhadap privasi pengguna, keselamatan peranti dan keselamatan negara”.
Ketua Hal Ehwal Global Google, Kent Walker, berkata langkah EU itu boleh “melemahkan perlindungan privasi dan keselamatan penting bagi jutaan pengguna Eropah”.
Menurutnya, pembantu AI kini sudah boleh mengakses Android, tetapi perkongsian data carian boleh menyebabkan carian peribadi pengguna Eropah terdedah kepada syarikat yang tidak dikenali, tanpa tahap penyamaran data yang mencukupi serta tanpa pengetahuan atau persetujuan pengguna.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan EU menegaskan bahawa aspek integriti, keselamatan dan privasi telah diberi perhatian utama. EU turut menyatakan keputusan itu akan memastikan data carian yang dikongsi melalui proses penyamaran identiti.
Arahan tersebut mempunyai kuasa undang-undang sebagai sebahagian daripada prosedur yang dimulakan pada Januari lalu, tetapi ia bukan siasatan rasmi yang boleh membawa kepada hukuman denda.
Namun, penelitian terhadap Google oleh EU masih belum berakhir.
Menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, EU berkemungkinan mengenakan denda terhadap Google minggu depan dalam satu siasatan berasingan di bawah undang-undang DMA.
Di bawah DMA, EU boleh mengenakan denda sehingga 10% daripada jumlah hasil tahunan global sesebuah syarikat jika didapati melanggar peraturan tersebut.
Google bukan asing dengan tindakan denda daripada EU. Syarikat itu pernah dikenakan denda berjumlah keseluruhan €8.2 bilion antara 2017 hingga 2019 berkaitan kes persaingan. Pada September tahun lalu, EU turut mengenakan denda €2.95 bilion dalam kes antitrust berasingan. – AFP
{suggest}
