Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
EU Arah Google Buka Android Kepada Pesaing AI

EU Arah Google Buka Android Kepada Pesaing AI

Diterbitkan April 28, 2026 · Dikemas kini April 28, 2026 oleh ariff bukhari

Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin menggariskan langkah yang mahu diambil oleh Google bagi membuka sistem operasinya kepada perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) pesaing.

Walau bagaimanapun, tindakan itu dikecam gergasi teknologi Amerika Syarikat tersebut.

“Langkah yang dicadangkan itu bertujuan memastikan perkhidmatan AI yang bersaing dapat berinteraksi secara berkesan dengan aplikasi pada peranti Android pengguna dan melaksanakan tugasan sewajarnya, seperti menghantar e-mel menggunakan aplikasi pilihan pengguna, membuat pesanan makanan atau berkongsi gambar dengan rakan,” kata Suruhanjaya Eropah.

Di bawah undang-undang utama EU, Akta Pasaran Digital (DMA), syarikat teknologi terbesar dunia perlu membuka platform mereka kepada persaingan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna serta mengehadkan penyalahgunaan yang berkait dengan dominasi pasaran.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengkritik undang-undang tersebut bersama undang-undang berkaitan moderasi kandungan, Digital Services Act, dengan menuduh Brussels menyasarkan syarikat AS secara tidak adil.

Brussels menyatakan bahawa cadangan terhadap Google itu “akan memberikan pengguna Android di seluruh EU pilihan perkhidmatan AI yang lebih luas.”

Namun, Google membalas dengan mengatakan bahawa “campur tangan yang tidak wajar” itu berisiko “meningkatkan kos secara tidak perlu serta melemahkan perlindungan privasi dan keselamatan penting bagi pengguna Eropah.”

Langkah terbaharu EU ini merupakan sebahagian daripada kesimpulan awal daripada proses yang dimulakan pada Januari.

Prosedur yang melibatkan Google itu bukan siasatan rasmi yang boleh membawa kepada denda.

Namun, jika Brussels tidak berpuas hati dengan usaha Google, ia boleh memutuskan bahawa syarikat itu gagal mematuhi peraturan.

Sebarang pelanggaran DMA boleh membawa kepada denda sehingga 10 peratus daripada jumlah perolehan global sesebuah syarikat.

Google juga kini menjadi subjek beberapa siasatan rasmi di bawah DMA, dan pernah dikenakan denda besar sebanyak 2.95 bilion euro pada September 2025 dalam kes persaingan EU yang berlaku sebelum undang-undang digital itu dilaksanakan. – AFP.

Berkaitan

  • Kami Dah Putus Asa “Dera” vivo V60 Lite 5G Ni
  • EU Tolak Caj Ke Atas Chatbot AI Pesaing Di WhatsApp
  • EU Tetapkan Semua Telefon Pintar Dijual Dengan Bateri Mudah Diganti Bermula 2027

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Syarikat Minyak UAE, ADNOC Jalin Kerjasama Dengan OpenAI Untuk Guna AI Dalam Operasi
  • Rembayung Kini Guna Grab Untuk Tempahan, Satu 'Booking' Setiap Dua Minggu
  • Korea Selatan Bakal Gandakan Perbelanjaan AI Dan Cip Pada 2027
  • HONOR Pad X7b Kini Di Malaysia Dari RM699, Dua Earbuds Baharu Bermula RM59
  • Epson Lancar SureColor SC-F330, Pencetak Sublimasi Desktop A3 Pertamanya
  • Google Peruntuk AS$160 Juta Untuk Infrastruktur Air Sokong Pusat Data Di Negeri Sembilan
  • 25,000 Lesen Pas Pembelajaran Global Kohort 2 Dibuka 16 November - Pemohon Senarai Menunggu Diutamakan
  • Claude Code Tak Boleh Lagi Klon Game Orang Lain, Walaupun Ditukar Nama
©2026 WISER.MY