E-Tunai Bawa Terminal Melaka Sentral Ke Era Digital

Terminal pengangkutan Melaka Sentral mengorak langkah menuju ke era digital apabila giat memperluas medium pembayaran menerusi aplikasi e-tunai. Pembayaran secara digital ini ditawarkan bagi semua rangkaian perkhidmatan dan perniagaan di terminal itu secara berperingkat.

Empat daripada 20 mesin pembelian tiket bas ekspres automatik menawarkan pembayaran e-tunai menerusi platform Boost. Selain itu, dua mesin pembayaran tiket tempat parkir turut menyediakan pilihan pembayaran yang sama. Kaedah tersebut akan diperluas kepada semua mesin yang ada berdasarkan sambutan pelanggan.

Penyediaan medium e-tunai dalam pembelian tiket merupakan satu transformasi penggunaan teknologi oleh Melaka Sentral. Ia telah mengubah dari sistem pembelian secara manual atau di kaunter sebelum beralih ke sistem tiket berpusat dan seterusnya menerusi mesin secara berperingkat.

Berdasarkan bancian, hampir 75% pelanggan yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres membeli tiket melalui mesin yang disediakan berbanding di kaunter. Penggunaan e-tunai bagi pembelian tiket dijangka mencecah 30% hingga 40% dalam tempoh dua bulan setelah dilancarkan pada minggu lepas.

Peniaga di terminal itu juga akan digalakkan menggunakan platform e-dompet selaras dengan usaha trasformasi yang dilaksanakan pihak Melaka Sentral. Setakat ini, di terminal tersebut mempunyai lebih 200 peniaga dalam pelbagai sektor perniagaan dan perkhidmatan. Hanya kira-kira lima peratus sahaja yang menggunakan platform e-dompet.

Sumber : Bernama