Kisah mengenai manipulasi tanda aras oleh pengeluar telefon pintar bukan perkara baru. Rata-rata daripada pengguna akan teruja melihat markah penanda aras. Tetapi pada situasi sebenar, ia berbeza dengan penggunaan hari ke hari.
Minggu ini, terdapat dakwaan yang mana siri OnePlus terbabit dengan isu manipulasi markah penanda aras Geekbench. Berikutan daripada itu, platform penanda aras itu telah mengambil langkah membuang OnePlus 9 dan OnePlus 9 Pro dari senarai mereka.
Sebagai respons, OnePlus telah mengeluarkan kenyataan:
Statement from OnePlus: https://t.co/N6bs6KhZqL pic.twitter.com/o80jHOXiCT
— Mishaal Rahman (@MishaalRahman) July 7, 2021
Terjemahan: “Keutamaan kami adalah untuk sentiasa memberikan pengalaman yang hebat kepada pengguna melalui produk kami, berdasarkan tindakan pantas terhadap maklum balas daripada pengguna.
Setelah OnePlus 9 dan OnePlus 9 Pro dilancarkan pada Mac, beberapa pengguna memberitahu kami mengenai beberapa bahagian yang boleh kami tingkatkan jangka hayat bateri dan pengurusan haba bateri. Hasil daripada maklum balas itu, pasukan Penyelidikan & Pembangunan kami telah berusaha dalam beberapa bulan untuk mengoptimumkan prestasi peranti ketika menggunakan aplikasi popular, termasuk Chrome, dengan cara memadankan keperluan pemproses aplikasi dengan kuasa yang bersesuaian.
Ini telah membantu memberikan pengalaman yang lancar sekaligus mengurangkan penggunaan tenaga. Walaupun ia mempengaruhi prestasi peranti pada beberapa aplikasi penanda aras, fokus kami adalah sentiasa melakukan apa yang terdaya untuk meningkatkan prestasi peranti untuk pengguna kami.”
Untuk makluman, Anandtech sebelum ini menyatakan OnePlus 9 Pro diuji dengan penanda aras pelayar seperti Speedometer 2.0 dan JetStream 2.0. Markah yang diperoleh rendah dan setara dengan peranti bajet keluaran beberapa tahun lepas.
Dikatakan bahawa sistem operasi peranti itu tidak membenarkan aplikasi popular termasuk aplikasi sistem sendiri menggunakan teras ‘prime’ pada Snapdragon 888. Dalam kata mudah, peranti akan mengerah perkakasan ketika diuji pada penanda aras tetapi tidak pada situasi sebenar iaitu penggunaan aplikasi harian.
Ada yang berpendapat mengapa tidak memberikan pilihan kepada pengguna, contohnya mod seimbang dan mod kuasa. Sekurangnya-kurangnya pengguna ada pilihan untuk rasai kuasa yang lebih tetapi dimaklumkan tentang penggunaan tenaga yang tinggi dan sebaliknya untuk mod seimbang.
Sumber: @MishaalRahman