Digi Dan Cyberview Akan Buka Makmal 5G Untuk Orang Ramai

Pelaksanaan 5G secara menyeluruh dalam negara dijangka hadir 2-3 tahun dan bergerak kearah itu, pelbagai ujian serta aktiviti berkenaan rangkaian terbabit dilakukan. Antara yang terbaru adalah kerjasama antara Cyberview Sdn Bhd dan DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) dalam memperkenalkan 5G OpenLab, sebuah ruang yang dikuasakan dengan inovasi 5G di Cyberjaya memberi peluang pada ahli perniagaan, ahli akademik serta mana-mana pemaju untuk menguji dan merasakan sendiri pengalaman penggunaan 5G di sana.

Kedudukannya di RekaScape Cyberview seluas 1,102 kaki persegi itu akan menyajikan perkhidmatan teknologi dan inovasi baru dengan DiGi sendiri dan rakan teknologi mereka, ZTE. Makmal ini akan memberi peluang kepada peserta terpilih untuk menguji kes uji kaji dan prototaip yang akan mendapat manfaat daripada kelajuan 5G dan jalur lebar yang besar. Ujian ini akan dijalankan dengan menggunakan 100MHz daripada 3.5GHz spektrum.

Kapsyen: (Dari kiri: Pengarah Urusan Cyberview, Najib Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty di depan 5G OpenLab di Cyberjaya.)


5G OpenLab akan mula dibuka kepada orang ramai bermula dari 1 Oktober 2019. Universiti Putra Malaysia (UPM) dan CREST (Penyelidikan bersama dalam bidang Kejuruteraan, Sains dan teknologi) akan menjadi yang pertama dalam menjalankan ujian di makmal itu.

Pihak Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat  dari UPM akan menguji dua kes penggunaan yang berkaitan dengan ruang pembelajaran realiti maya, dan avatar realiti  yang diperkaya untuk bandar-bandar pintar.

Manakala, CREST akan menggunakan kes-kes penjagaan kesihatan digital yang berkaitan dengan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, pembedahan jarak jauh, pemantauan jarak jauh bagi hospital pintar dan ambulans  yang disambungkan dengan 5G.



Pihak DiGi percaya bahawa 5G OpenLab ini akan memberi inspirasi kepada ramai pereka dan pencipta dalam semangat kerjasama untuk belajar, berkongsi dan berusaha untuk membina penyelesaian buat generasi akan datang. 5G akan membawa perubahan baharu kepada kehidupan rakyat Malaysia dan cara terbaik untuk meneroka kemungkinan perubahan ini adalah dengan meletakkan 5G di tangan para pereka dan pemaju tempatan," menurut Albern Murty, Ketua Pegawai Eksekutif Digi.

Cyberjaya bersedia untuk menjadi salah satu bandar raya pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan teknologi 5G dan infrastruktur bandar pintar yang bakal menarik minat ramai lagi pengunjung untuk datang merasai pengalaman itu sendiri.