Didapati Lebih Daripada 1000 Aplikasi Android Mengutip Data Tanpa Kebenaran Penggunanya

Ia termasuklah mengutip data berkaitan lokasi dan data privasi lain walaupun pengguna telah menetapkannya kepada tidak dibenarkan terhadap permintaan aplikasi tersebut.


Satu laporan penyelidikan terhadap sistem kebenaran Android telah dikeluarkan menerusi penyelidikan bersama yang dijalankan antara pihak AppCensus. Inc, U.C Berkeley, Universidad Carlos III de Madrid, ICSI, University of Calgary dan IMDEA Networks Institute.

Dalam laporan penyelidikan yang bertajuk "50 Ways to Leak Your Data: An Exploration of Apps’ Circumvention of the Android Permissions System" itu mendedahkan bahawa lebih daripada 1000 aplikasi telefon pintar Android didapati terus mengutip data penggunanya walaupun selepas pengguna menetapkan kepada tidak dibenarkan pada tetapan aplikasi tersebut.

Atau secara tepatnya adalah sebanyak 1325 daripada 88,000 aplikasi daripada pelbagai kategori yang terdapat di dalam Google Play store telah di dapati mengutip data penggunanya tanpa kebenaran.

Kutipan data itu termasuklah menjejaki data lokasi tanpa kebenaran pengguna yang biasanya akan diminta oleh sesebuah aplikasi  bagi menjejaki penggunanya.

Tidak setakat itu, penyelidik juga menemui aplikasi yang ditetapkan tidak dibenarkan menjejaki dan mengutip data penggunanya didapati telah menumpang aplikasi lain pula yang memperoleh kebenaran pengguna sebagai kambing hitam untuk ia mengutip data tanpa disedari.

Walaupun daripada penyelidikan itu didapati hanya 13 aplikasi sahaja yang berbuat demikian, tetapi aplikasi-aplikasi itu telah dimuat turun lebih daripada 17 juta kali ke dalam peranti Android.

Dalam laporan itu juga memaklumkan bahawa pihak Google telah sedia maklum akan masalah tersebut menerusi laporan dan aduan yang pernah diterima mereka sebelum ini.

Penambahbaikan bagi menangani isu ini dijangka akan dibuat di dalam sistem operasi Android Q yang akan dilepaskan kepada pengguna dalam tahun ini juga dengan menyediakan tetapan yang memberikan pengguna lebih kawalan terhadap tetapan privasi data mereka.

Juga dengan kata lain, pengguna telefon pintar Android model terdahulu perlulah memiliki model terbaru bagi membolehkan mereka menggunakan versi terbaru Android tersebut.

Berkaitan