Selepas penguatkuasaan Akta Pasaran Digital (DMA) oleh EU, Jepun pula kini meluluskan undang-undang baharu untuk memaksa Apple dan Google membenarkan kedai aplikasi pihak ketiga pada peranti mereka.
Sama seperti DMA, Akta Jepun mengenai Promosi Persaingan untuk Perisian Telefon Pintar Tertentu memerlukan “penyedia yang ditetapkan” seperti Apple dan Google untuk memberi pembangun aplikasi pilihan untuk menawarkan perkhidmatan pengebilan pihak ketiga.
Undang-undang itu juga bertujuan untuk memudahkan pengguna menukar tetapan lalai (default) dan pelayar sesawang mereka. Ia juga untuk menghalang pemain seperti Apple dan Google daripada mengutamakan perkhidmatan mereka sendiri dalam enjin carian.
Undang-undang baharu itu dijangka akan dikuatkuasakan menjelang akhir tahun 2025 dengan objektif menurunkan harga aplikasi dan mempromosikan pasaran gedung aplikasi yang lebih sama rata untuk pemain yang lebih kecil.
Jika pembekal yang ditetapkan melanggar undang-undang, mereka boleh didenda sehingga 20% daripada hasil domestik. Ini boleh meningkat sehingga 30% untuk pelanggaran berulang.
Epic Games, yang terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan Apple dalam beberapa tahun kebelakangan ini, meraikan kelulusan undang-undang baharu di Jepun itu dengan menyatakan bahawa platform kedai permainannya dan Fortnite akan hadir ke iOS pada akhir 2025 nanti.
Dalam satu kenyataan kepada The Verge, Apple berkata ia akan meneruskan perbincangan dengan Suruhanjaya Perdagangan Adil Jepun semasa tempoh pelaksanaan dan menyatakan kebimbangannya tentang bagaimana undang-undang baharu itu mempengaruhi “pengalaman iPhone selamat dan peribadi” yang dijangkakan oleh pengguna Jepun.
Apple kekal dengan pendiriannya bahawa pemuatan sisi (side loading) aplikasi pada iPhone dan iPad adalah berisiko. Ia juga berusaha keras untuk menerbitkan kertas putih mengenai perkara itu.
{suggest}
Sumber: The Verge, Hardware Zone