Kawasan luas hutan hujan Indonesia yang menjadi habitat orang utan terancam telah ditebang bagi ladang yang membekalkan bahan kepada pengeluar pembungkusan “neutral karbon”, menurut siasatan oleh AFP dan The Gecko Project.
Syarikat pulpa dan kertas Asia Symbol mempunyai dasar tanpa penebangan hutan dan membekalkan kepada syarikat besar seperti Haleon, gergasi farmaseutikal Britain di sebalik jenama Panadol dan Sensodyne.
Namun, kayu dari ladang yang menyaksikan puluhan ribu hektar hutan ditebang — termasuk habitat orang utan — diproses di sebuah kilang Indonesia yang membekalkan Asia Symbol.
Haleon menyatakan ia memutuskan hubungan dengan Asia Symbol selepas siasatan tersebut, yang menggunakan data satelit, dokumen audit, rekod perdagangan dan penjejakan kapal untuk menelusuri kayu dari hutan Borneo yang ditebang ke dalam rantaian bekalan Asia Symbol.
Pakar dan penduduk tempatan menyalahkan ladang yang membekalkan Asia Symbol kerana memusnahkan sumber rezeki mereka serta menyebabkan banjir, kehilangan hidupan liar dan pertikaian tanah.
“Saya sebak mengenangkan keadaan dahulu,” kata ketua kampung tempatan, Agau, kepada AFP, menggambarkan kemusnahan di Kalimantan Tengah, antara kawasan paling kaya biodiversiti di dunia.
Siasatan itu juga menimbulkan persoalan terhadap syarikat induk Asia Symbol, konglomerat Royal Golden Eagle (RGE) yang beribu pejabat di Singapura.
RGE berjanji untuk memastikan rantaian bekalan bebas penebangan hutan pada 2015 dan memperoleh pinjaman berkaitan kelestarian bernilai AS$1 bilion pada 2024.
Ia kini cuba mendapatkan semula pensijilan Forest Stewardship Council (FSC) yang menandakan produk diperoleh secara bertanggungjawab.
Namun siasatan mendapati anak syarikatnya, Asia Symbol, menerima pulpa dari kilang yang dibekalkan ladang yang menebang hampir 30,000 hektar hutan antara 2016 hingga 2024 — hampir tiga kali ganda keluasan Paris.
“Penemuan ini menunjukkan RGE masih aktif dalam aktiviti penebangan hutan,” kata Robin Averbeck dari Rainforest Action Network.
Pembungkusan “neutral karbon”
Asia Symbol sebelum ini berjanji untuk berhenti menggunakan kayu dari Industrial Forest Plantation (IFP) “tanpa had masa”.
Namun siasatan menjejak kayu dari IFP dan ladang lain ke kilang Phoenix Resources International (PRI), yang menghantar pulpa ke Asia Symbol di China.
Asia Symbol menghasilkan pembungkusan “neutral karbon” di sana yang digunakan Haleon untuk kotak ibuprofen.
Syarikat itu menegaskan komitmennya terhadap dasar tanpa penebangan hutan, tetapi mengakui rantaian bekalannya yang kompleks menyukarkan pemantauan menyeluruh.

Walaupun penebangan tersebut tidak menyalahi undang-undang kerana ladang mempunyai permit kerajaan Indonesia, kesannya terhadap alam sekitar dan komuniti amat besar.
Sebahagian besar hutan dalam konsesi IFP seluas lebih 100,000 hektar telah ditebang untuk menanam pokok akasia dan eucalyptus yang cepat membesar.
“Sudah sukar melihat keadaan seperti dahulu,” kata Agau, 69, setiausaha kampung Humbang Raya.
Beliau berkata hidupan liar semakin hilang, dan penduduk yang bergantung kepada hutan terpaksa berhijrah mencari pekerjaan.
Ketika wartawan AFP melawat kawasan itu, aktiviti penebangan masih berjalan — di satu sisi jalan terdapat hutan padat penuh biodiversiti, manakala di sisi lain hanya tinggal tanah berlumpur dan sisa pokok.
“Hati kami hancur”
Di Sei Gawing, kira-kira 30 kilometer dari situ, penduduk bimbang menggunakan air sungai berhampiran kerana pencemaran dari ladang.
Banjir juga menjadi lebih kerap dan teruk selepas kehilangan litupan hutan.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, banjir mula memasuki rumah penduduk,” kata ketua kampung, Dodie Kristiawan.
Kerajaan Indonesia mengakui penebangan hutan memburukkan banjir dan tanah runtuh yang meragut lebih 1,000 nyawa di Sumatera tahun lalu, tetapi usaha menghentikan kehilangan hutan di tempat lain masih terhad.
Seorang ibu, Ika Magdalena, berkata tanah pertanian yang pernah diusahakannya kini berada dalam kawasan konsesi IFP dan tidak lagi boleh digunakan.
Pampasan yang dijanjikan tidak diterima, memaksanya berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga.
“Mereka sudah merosakkan tanaman kami dan tidak mahu bertanggungjawab. Hati kami hancur, tetapi mereka terus berdiam diri.” katanya.
Dakwaan “greenwashing”
Asia Symbol mengesahkan kilang PRI mula membekalkan pulpa sejak Januari 2025 dan kini sedang menjalankan semakan terhadap sumber tersebut.
Namun, PRI tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen.
RGE sebelum ini juga dikaitkan dengan konflik tanah dan penebangan hutan.
Greenpeace menyifatkan komitmen syarikat itu sebagai “greenwashing” — usaha memperlihatkan imej mesra alam tanpa perubahan sebenar.
Walaupun RGE menegaskan rantaian bekalannya bebas penebangan hutan, pensijilan FSC terhadapnya masih digantung.
Harapan terakhir komuniti
Janji kelestarian memberi manfaat kewangan besar kepada syarikat seperti RGE, termasuk akses kepada pembiayaan hijau bernilai berbilion dolar.
Walaupun Haleon menyatakan tiada bukti bahan berkait penebangan hutan dalam produknya, ia tetap bimbang dan mengarahkan pembekal mengelak sumber berisiko.
Indonesia merupakan antara negara dengan kehilangan litupan hutan tertinggi di dunia, meningkatkan risiko bencana alam serta mengancam spesies terancam.
Namun manfaat ekonomi jangka pendek sering mengatasi kebimbangan tersebut.
Di Humbang Raya, Agau berharap kerajaan menghentikan pemberian permit kepada syarikat yang menebang hutan.
“Anda tanam satu pokok, tetapi sejuta hilang. Itu tidak seimbang. Kehidupan kami bergantung kepada hutan. Itulah satu-satunya harapan kam,” katanya.
– AFP.
{suggest}
