Nikel merupakan bahan penting dalam penghasilan keluli tahan karat dan bateri kereta elektrik.
Permintaan global terhadap unsur logam ini semakin meningkat ekoranĀ dunia mengejar teknologi hijau.
Keadaan ini menyebabkan kerajaan Indonesia mengambil langkah agresif untuk mengeksploitasi rizab nikel besar negara itu, termasuklah yang ada di Pulau Halmahera.
Di tengah-tengah rimba tebal Halmahera, Indonesia, terdapat sebuah komuniti yang masih hidup secara tradisional dan hampir tidak terhubung dengan dunia luar.
Mereka ialah suku asli Hongana Manyawa, yang bermaksud “Orang Hutan”.
Namun, hutan yang selama ini menjadi sumber kehidupan dan perlindungan buat mereka kini semakin terancam akibat daripada kegiatan perlombongan nikel berskala besar yang dijalankan oleh syarikat Weda Bay Nickel (WBN).

Kesan perlombongan jelas kelihatan di kawasan hutan ini. Bunyi letupan untuk kerja-kerja melombong, helikopter berlegar di udara, serta jentera berat menggali tanah telah mengganggu ekosistem semula jadi.
22 Sungai di kawasan itu yang dahulunya bersih kini keruh menyebabkan penyakit pada kulit, malah ikan semakin berkurangan.
Haiwan buruan seperti rusa dan babi hutan yang menjadi sumber utama makanan suku ini juga kini semakin sukar ditemui. Keadaan ini amat menyukarkan mereka untuk terus hidup seperti biasa.
Lebih membimbangkan, sesetengah ahli suku yang tidak pernah berhubung dengan dunia luar kini terpaksa keluar dari hutan untuk meminta makanan.
Keadaan mereka yang kurus dan kebuluran telah mengejutkan banyak pihak apabila tular dalam media sosial.
Ini menunjukkan betapa parahnya kesan perlombongan terhadap suku yang bergantung sepenuhnya kepada hutan untuk meneruskan kehidupan.
Selain kerosakan alam sekitar, kegiatan perlombongan turut membawa masuk ribuan pekerja luar ke kawasan itu, mencetuskan ketegangan sosial serta peningkatan masalah kesihatan seperti jangkitan pernafasan malah HIV/AIDS.
Namun begitu, masih ada suara yang menentang ketidakadilan ini. Tokoh suku seperti Bokum dan isterinya Nawate berusaha mempertahankan tanah dan kehidupan mereka.
Bokum menegaskan bahawa hutan itu adalah rumah mereka, dan mereka tidak akan menyerahkannya walau diberi pujukan atau hadiah.
“Ini tanah kami. Kami tidak akan beri kebenaran untuk hutan kami dimusnahkan,” tegasnya.
Organisasi seperti Survival International turut mendesak supaya kawasan perlombongan ini dihadkan atau ditutup bagi melindungi suku Hongana Manyawa daripada kepupusan.
Mereka menekankan bahawa sebarang hubungan dengan dunia luar, termasuk pekerja lombong, boleh mendedahkan suku yang tidak berhubung ini kepada penyakit yang boleh membunuh mereka kerana tiada imuniti.
Beberapa syarikat seperti Tesla dan Polestar turut menunjukkan keprihatinan terhadap isu ini.
Mereka mencadangkan penubuhan zon larangan perlombongan bagi melindungi masyarakat asli yang tidak terhubung dengan dunia moden.
{suggest}
Sumber: AFP