Malaysia tahun ini digemparkan dengan pelbagai berita tentang masalah sosial dalam kalangan remaja seperti kes seksual, kes buli, dan kes bunuh yang perlu dipandang serius.
Ramai yang menganggap masalah ini berpunca daripada ketagihan gajet. Ada juga yang mengatakan ia berpunca daripada permainan video yang mengandungi unsur keganasan. Namun, isu ini perlulah dipandang dengan lebih mendalam dari hanya menyalahkan ketagihan gajet.
Popcorn Brain
Anda pasti pernah dengar istilah ‘Popcorn Brain’ yang merujuk kepada keadaan otak manusia yang terbiasa dengan rangsangan tanpa henti serta laju. Ia menyebabkannya sukar untuk fokus dan berfikir secara mendalam. Kadar aliran kandungan media boleh dikaitkan dengan isu ini.

Apa yang kita dapat lihat sekarang, aliran media dahulu lebih perlahan berbanding aliran media sekarang. Sebagai contoh, dahulu, berita disampaikan melalui surat khabar dan disaring beberapa peringkat untuk memastikan kesahihan. Pembaca juga perlu membaca artikel penuh untuk memahami konteks sesuatu isu.
Kini, berita tersebar pantas di media sosial tanpa tapisan, menyebabkan maklumat palsu mudah tersebar. Berita di media sosial pula akan diringkaskan menjadi video pendek. Ini menyebabkan penonton tidak meluangkan masa untuk memahami konteks dan membawa kepada tindak balas yang terburu-buru dan toksik.
Kadar aliran media yang laju seperti video TikTok atau YouTube Shorts ini, boleh menyebabkan rangsangan berlebihan (overstimulation) terhadap golongan remaja. Ia akhirnya akan mendorong kepada kesukaran dalam memberikan tumpuan dan memproses maklumat dengan kefahaman penuh.
Apa Kaitan dengan Masalah Sosial?
Apabila otak mereka terbiasa dengan dos dopamin yang tinggi dari video-video pendek, ia akan menolak aktiviti yang melepaskan dopamin pada dos yang rendah.
Aktiviti seperti membaca, atau menonton video yang perlahan, akan membuatkan mereka bosan dan cepat hilang tumpuan. Mereka akan lebih memilih untuk menonton video dengan kadar yang laju.
Menurut artikel Malaysia Gazette yang ditulis pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, penggunaan teknologi yang berlebihan menyebabkan minda manusia sukar untuk menikmati suasana tenang, kerana otak sentiasa mencari rangsangan baharu yang serupa dengan kandungan di media sosial.
Jika kadar dopamin yang diharapkan oleh otak tidak mampu dipenuhi, remaja akan mula berasa gelisah yang akhirnya mendorong kepada tekanan atau stres.
Tekanan ini mampu menyebabkan ledakan emosi seperti pemberontakan atau kemarahan yang melampau apabila permintaan mereka ditolak. Ini menyebabkan mereka hilang kawalan dan mempunyai toleransi yang rendah terhadap provokasi. Ia mampu menjadi punca kepada masalah sosial yang serius.
Pengaruh Toksik
Selain itu, masalah sosial jenayah dalam kalangan remaja juga boleh dikaitkan dengan pengaruh toksik melalui pempengaruh (influencer) di media sosial. Seperti yang kita tahu, manusia paling mudah dipengaruhi pada peringkat umur remaja.

Jadi, dengan adanya pempengaruh yang mengeluarkan pendapat tidak berasas, pemikiran mereka mampu terdedah kepada pengaruh toksik. Lebih-lebih lagi, apabila sesiapa sahaja boleh menjadi influencer tanpa mengira latar belakang.
Misalnya, influencer yang mengeluarkan pendapat-pendapat berunsur misogini boleh mendorong remaja lelaki untuk bertindak kasar terhadap wanita. Ini kerana ideologi seperti ini mampu mempengaruhi perkembangan minda remaja dalam kefahaman tentang hidup.
Oleh yang demikian, ada beberapa langkah boleh diambil;
- Menyeimbangkan masa bersama keluarga, penggunaan gajet, dan masa belajar sesuai mengikut umur remaja.
- Elakkan berada di media sosial terlalu lama dan lakukan aktiviti yang tidak melibatkan skrin seperti membaca, melukis dan beriadah.
- Normalisasikan penggunaan butang ‘not interested’ untuk kandungan-kandung negatif dan toksik.
Kesimpulan
Apa yang dapat disimpulkan di sini, usaha seperti pengharaman permainan video dan gajet tidak memadai untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja.
Selain dari penetapan had masa penggunaan gajet, ibu bapa perlu lebih prihatin dalam memantau kandungan dan influencer yang diikuti oleh anak mereka. Remaja juga boleh mengambil inisiatif untuk menyeimbangkan aktiviti digital dengan aktiviti luar skrin.
Media sosial memang tidak boleh dijadikan punca utama kepada masalah sosial, namun ia masih tidak boleh dipandang enteng. Ia mampu menjadi langkah pertama yang mampu menjejaskan kesihatan mental dan produktiviti kehidupan.
{suggest}
