Tahukah anda TikTok berasal daripada Musical.ly?
TikTok kini mempunyai lebih 800 juta pengguna aktif di seluruh dunia dengan lebih 2 bilion muat turun di App Store dan Google Play.
Untuk platform yang dilancarkan pada tahun 2016, ia merupakan satu pencapaian yang mengagumkan, yang kini bersaing dengan media sosial lain seperti Facebook, Twitter, dan Instagram.
Teruskan membaca untuk ketahui lebih lanjut tentang sejarah aplikasi paling berpengaruh ini.
Dari Musical.ly ke TikTok
TikTok dicipta oleh syarikat teknologi dari China, ByteDance, dan pertama kali dilancarkan pada September 2016 di bawah nama “Douyin”, yang dipasarkan sebagai perkhidmatan rangkaian sosial perkongsian video serupa dengan Facebook dan Instagram.
Kemudian pada November 2017, ByteDance memperoleh aplikasi media sosial lain yang dipanggil ‘Musical.ly’, yang membolehkan pengguna mencipta dan berkongsi video suai bibir (lip sync) pendek 15 saat pada platform mereka.
ByteDance kemudian menutup aplikasi Musical.ly dan memasukkan kebanyakan cirinya ke dalam Douyin.
Pada bulan Ogos 2018, ByteDance melancarkan Douyin versi global iaitu TikTok.
Salah satu tarikan utama TikTok ialah algoritma terperincinya yang menentukan citarasa dan pilihan pengguna dengan cepat berdasarkan penglibatan pengguna dalam aplikasi itu.
Untuk pengetahuan, kebanyakan ciri TikTok yang menonjol berasal daripada Musical.ly, namun sebenarnya pernah hampir gagal.
Musical.ly, yang pada asalnya dipanggil “Cicada”, bermula sebagai aplikasi untuk berkongsi video pendidikan bentuk pendek yang menyasarkan penonton remaja.
{suggest}
Menurut para pengasas, Alex Zhu dan Luyu Yang, aplikasi itu telah ditakdirkan untuk gagal kerana tempoh masa 3-5 minit cukup singkat untuk pengguna mencipta video pendidikan dan meghiburkan.
Dengan hanya 8% dana yang tinggal, Zhu dan Yang memutuskan untuk mengolah semula aplikasi mereka sepenuhnya.
Pada Julai 2014, mereka menjenamakan semula aplikasi kepada Musical.ly, rangkaian sosial yang menggabungkan muzik dan video untuk menarik demografi golongan remaja.
Tempoh video telah dipendekkan kepada 15 saat dan memberikan pengguna pangkalan data lagu yang besar, filter, dan klip filem untuk lip sync.
Pelancaran awal aplikasi itu sebahagian besarnya positif dengan jumlah pengguna kekal yang baik, namun selepas 10 bulan prestasi tidak memuaskan, syarikat itu hampir ditutup semula kerana masalah aliran tunai.
Trend video suai bibir menjadi semakin popular, dengan aplikasi suai bibir lain seperti Triller dan Dubsmash memasuki pasaran pada waktu itu.
Kemudian Zhu dan Yang mendapati bahawa video yang dibuat di Musical.ly banyak dimuat turun dan dikongsi di platform media sosial lain, tetapi tanpa sebarang pautan atau rujukan pada video mereka, mengakibatkan tiada dorongan trafik ke platform mereka.
Dua bulan selepas mereka menyertakan tera air (watermark) dalam video mereka, Musical.ly mula melonjak naik ke atas carta App Store Apple, di mana ia kekal selama beberapa bulan, yang kemudiannya menjadi inspirasi aplikasi TikTok.
Jenis kandungan TikTok

TikTok dikenali dengan video tarian dan lip sync, kerana pustaka muzik TikTok yang luas, yang melesenkan muzik daripada label muzik popular seperti Sony Music, Warner Music, dan Universal Music.
Proses merakam video juga mudah, dengan memilih muzik latar dahulu, kemudian boleh dimainkan semasa merakam.
Selama bertahun-tahun, TikTok telah berkembang untuk memasukkan bentuk kandungan lain, dan pengguna TikTok baharu digesa untuk memilih jenis kandungan yang mereka ingin lihat pada aplikasi.
Kebanyakan pengguna TikTok juga dapat menikmati laman “For You”, yang menggunakan algoritma untuk mempamerkan kandungan yang disesuaikan dengan pengguna berdasarkan aktiviti terkini mereka.
Video akan dipaparkan satu demi satu dan pengguna menatal ke bawah untuk melihat video seterusnya.
Setiap kali video baharu dimuat naik, algoritma akan memaparkannya kepada sebilangan kecil pengguna.
Video dengan keterlibatan (engagement) pengguna yang baik, akan dipaparkan kepada lebih ramai pengguna yang mempunyai minat yang sama dan jika proses itu berulang beberapa kali, video tersebut boleh menjadi tular.
Proses ini boleh berlaku tanpa mengira bilangan pengikut pencipta, yang menurut TikTok, kandungan yang baik boleh pergi jauh.
Komuniti TikTok

Pada asasnya, sebab utama TikTok menjadi begitu terkenal adalah kerana komuniti dalam taliannya.
TikTok sudah tersedia di 155 negara dan dalam 75 bahasa, yang mana boleh boleh dikatakan sesiapa sahaja yang mempunyai sambungan internet boleh menyertai komuniti TikTok.
Menurut TikTok, setiap pengguna menghabiskan 52 minit sehari pada TikTok dan purata 1 juta video TikTok ditonton setiap hari.
90% pengguna TikTok pula mengakses aplikasi setiap hari, dan 41% pengguna TikTok berumur antara 16 dan 24 tahun.
Antara ciri yang menjadi tarikan utama ialah “Duet”, yang membolehkan pengguna merakam diri mereka bersama video TikTok sedia ada dalam format split-screen.
Pengguna juga boleh memilih untuk menggunakan hanya audio daripada video asal, yang dikreditkan di bahagian bawah video sebagai “Original sound”.
Ini menggalakkan pengguna untuk bertindak balas, membuat parodi atau membuat video bersama pengguna lain.
Menariknya, cara ini mudah untuk melihat betapa cepat sesuatu challenge menjadi tular di TikTok.
Mana-mana video di TikTok juga boleh dimuat turun dan dikongsi ke platform lain, dengan disertakan logo TikTok dan nama pengguna TikTok secara automatik.
TikTok juga membenarkan pengguna memasukkan pautan ke halaman Instagram, saluran YouTube, dan akaun Twitter pada profil mereka.
Rumusan
TikTok tak dapat dinafikan lagi menjadi aplikasi yang paling ‘hangat’ pada masa kini dengan pelbagai jenis kandungan positif dan juga negatif.
Walaupun kita tahu ada sesetengah kandungan atau cabaran TikTok memberi pengaruh buruk, semua akhirnya bergantung kepada diri sendiri dalam pemantauan dan batas penggunaan aplikasi ini.