Dikemas kini pada 10 September 2021, 9.15p.m.
Pihak ProPublica telah mengemas kini artikel mereka sebelum ini dengan memaklumkan bahawa WhatsApp menegaskan ciri penyulitan mesej hujung ke hujung dalam aplikasi WhatsApps tidak membenarkan sesiapa dapat melihat mesej-mesej yang dihantar penggunanya.
Di bawah adalah artikel yang dilaporkan sebelum ini.
WhatsApp selama ini menghebah-hebahkan bahawa aplikasi mereka sebagai platfom sosial yang mementingkan privasi para penggunanya.
WhatsApp sangat berbangga dengan ciri penyulitan mesej hujung ke hujung dalam aplikasi mereka yang dinyatakan sebagai satu ciri yang menjamin privasi penggunanya apabila mereka menghantar mesej, foto, video, suara, dokumen dan panggilan.
WhatsApp menegaskan ciri penyulitan hujung ke hujung memastikan hanya anda dan orang yang berkomunikasi dengan anda sahaja yang dapat membaca atau mendengar mesej yang dihantar.
WhatsApp juga menegaskan tiada orang perantaraan dalam proses itu walaupun dari pihak WhatsApp sendiri. Sekaligus menjadikan mesej yang dihantar dilindungi dengan kunci dan hanya penerima dan penghantar mesej sahaja yang mempunyai kunci khas yang diperlukan untuk membuka dan membacanya.
Namun begitu, ciri privasi itu mungkin tidak seperti yang disangkakan.
Ini kerana berdasarkan kepada laporan terbaru oleh ProPublica mendedahkan, dalam keadaaan khusus tertentu, pihak kontraktor yang dibayar WhatsApp berupaya untuk membaca mesej-mesej yang dihantar para penggunanya.
Dalam laporan ProPublica yang bertajuk “How Facebook Undermines Privacy Protections for Its 2 Billion WhatsApp Users” itu mendakwa, WhatsApp memonitor secara terperinci mesej-mesej yang dihantar melalui platfom tersebut menerusi perisian khas Facebook yang digunakan oleh lebih daripada 1,000 kontraktor WhatsApp.
Malah dalam laporan itu juga mendakwa WhatsApp sering berkongsikan info peribadi penggunanya bersama pihak pendakwaan di mahkamah.
Sebagai contoh, perisian khas itu akan mengimbas sesuatu mesej yang mengandungi kandungan seperti aktiviti jenayah, pengganas, spam dan lain.
Walaupun WhatsApp menyatakan kepada pihak ProPublica bahawa mereka mempunyai sebab untuk melakukan perkara itu seperti melindungi pengguna daripada pihak yang boleh membahayakan penggunanya.
Tetapi ini jelas menunjukkan bahawa ciri privasi yang sering dicanang-canang oleh WhatsApp sebelum ini tidaklah seperti apa yang digambarkan pengguna WhatsApp.
Sumber: Android Authority