Sebuah syarikat teknologi dari Poland, Clone Robotics, sedang giat membangunkan Protoclone, robot manusia (humanoid) yang direka untuk meniru pergerakan manusia dengan lebih realistik. Robot ini menggunakan sistem otot sintetik yang mampu bergerak seperti otot sebenar, menjadikannya lebih fleksibel dan responsif.
Protoclone dibina dengan struktur rangka polimer yang menyerupai anatomi manusia, termasuk 206 tulang tiruan (mirip manusia dewasa) dan lebih 1,000 otot buatan berdasarkan teknologi ‘Myofiber’. Teknologi ini menggunakan tiub khas yang mengandungi cecair hidraulik untuk mengawal pergerakan, sama seperti cara otot manusia berfungsi.
Untuk menggerakkan sistem ini, robot ini dilengkapi pam elektrik 500-watt, yang bertindak sebagai “jantung”, mengepam cecair pada kadar 40 liter seminit bagi menghasilkan pergerakan yang lancar dan semula jadi.
Malah, kalau anda menikamnya menggunakan garpu, ia boleh “berdarah”.
https://x.com/dhanushisrad/status/1892607083809263650
Dari segi keupayaan deria, Protoclone tidak sekadar boleh bergerak, tetapi juga mampu mengenali persekitarannya. Ia dilengkapi empat kamera kedalaman untuk penglihatan, 70 sensor inersia untuk mengesan kedudukan sendi, dan 320 sensor tekanan yang membolehkannya merasakan daya yang dikenakan ke atasnya.
Ini memberi kelebihan kepada robot untuk belajar pergerakan dengan memerhati manusia serta menyesuaikan tindakannya berdasarkan situasi tertentu.
https://x.com/clonerobotics/status/1892250639360561234
Namun, walaupun teknologi ini menjanjikan potensi besar, Protoclone masih berada dalam fasa awal pembangunan. Dalam demonstrasi yang dipertontonkan, robot ini masih memerlukan sokongan gantungan untuk mengekalkan keseimbangan, menunjukkan bahawa masih banyak kerja yang perlu dilakukan sebelum ia boleh berdiri dan bergerak secara autonomi.
Clone Robotics sebelum ini pernah memperkenalkan tangan robotik dan bahagian torso yang menggunakan sistem ‘Myofiber’ yang sama.
Kini, mereka merancang untuk melancarkan 279 unit pertama, dikenali sebagai Clone Alpha, dengan prapesanan dijangka dibuka pada tahun ini juga.
Walaupun belum ada tarikh rasmi untuk pelancaran versi penuh, Protoclone memberikan gambaran masa depan robot humanoid yang lebih realistik dan berfungsi. Dengan cabaran yang masih perlu diatasi, projek ini menunjukkan bagaimana teknologi robotik terus berkembang ke arah mencipta mesin yang benar-benar boleh membantu dalam kehidupan seharian.
Melihat kepada Clone Alpha, ia mengingatkan saya tentang permainan popular Detroit: Become Human di mana robot manusia atau dipanggil Android itu memang mempunyai mekanisme seperti manusia. Boleh berfikir, ada darah berwarna biru, jantung dan juga berfungsi untuk membantu manusia.
{suggest}
Sumber: arstechnica