Secara global, China, Eropah dan Amerika Syarikat pada asasnya berjalan seiring dalam bidang pengkomputeran optik di mana secara amnya, ia digambarkan sebagai teknologi yang lebih daripada 1,000 kali lebih berkuasa daripada GPU.
Tetapi, China telah mencipta sejarah dalam dunia teknologi ini dengan memperkenalkan cip pengkomputeran optik pertama berskala tinggi, dinamakan ‘Meteor-1’.
Direka oleh para penyelidik dari Shanghai Institute of Optics and Fine Mechanics (SIOM) dan Nanyang Technological University (NTU), cip ini menggunakan cahaya untuk menjalankan ribuan operasi secara serentak.
Apa yang menjadikan ‘Meteor-1’ menakjubkan ialah keupayaannya mencapai 2,560 tera operasi sesaat (TOPS) pada frekuensi optik 50GHz iaitu hampir menyamai kad grafik berkuasa tinggi seperti Nvidia RTX 5090.
Ini bermakna cip optik ini bukan sekadar eksperimen makmal, tetapi berpotensi menyaingi cip elektronik komersial dalam kegunaan sebenar, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
Berbeza dengan cip optik terdahulu yang sering terhad dari segi saiz dan prestasi, cip ini memecahkan halangan teknologi dengan pendekatan komputasi selari ultra-tinggi.
Ia mampu memproses lebih 100 tugas secara serentak, tanpa perlu membesarkan saiz cip.
Tambahan pula, sistem cip ini menggabungkan pelbagai teknologi inovatif seperti sumber cahaya pelbagai gelombang, cip interaksi optik, dan papan kawalan isyarat optik berketepatan tinggi.
Ketua penyelidik, Dr. Xie Peng, yang pernah menjalankan penyelidikan di MIT, Oxford dan NTU, menyatakan bahawa struktur pasukan dan sokongan institusi di China telah mempercepatkan pencapaian ini.
Antara sebab utama mengapa pengkomputeran optik begitu popular adalah bukan sahaja kerana prestasinya yang tinggi, tetapi lebih penting lagi, penggunaan kuasanya yang rendah.
Xie Peng dalam satu temu bual terkini berkata:
“Pencapaian ‘Meteor 1’ bukan sahaja terletak pada peningkatan kuasa pengiraannya, tetapi juga pada penggunaan kuasanya yang rendah. Pada masa depan, ia boleh mengurangkan penggunaan tenaga pusat data dengan ketara dan mempromosikan pengkomputeran hijau.”
Mereka percaya teknologi ini boleh menjadi alternatif utama kepada cip elektronik tradisional yang kini menghadapi had fizikal seperti isu pembentukan haba berlebihan dan penggunaan tenaga yang tinggi.
{suggest}
Sumber: South China Morning Post, EEWORLD