Lautan biru panel solar terbentang di atas bukit pasir berwarna oker di Gurun Kubuqi, Mongolia Dalam menjadi simbol berkilau bagi peralihan tenaga China yang hampir tidak terbayangkan besarnya.
Walaupun negara lain memperlahankan projek solar di gurun atas alasan ekonomi atau teknikal, China — pengeluar gas rumah hijau terbesar dunia — tetap mara ke hadapan.
Pemasangan solar di gurun adalah sebahagian utama daripada rancangan China untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2060.
Kapasiti solar negara ini jauh mengatasi usaha global, malah begitu besar sehingga mungkin mempengaruhi corak cuaca setempat.
“Sebelum ini, tiada apa-apa di sini… ia tandus,” kata penduduk tempatan Kubuqi, Chang Yongfei kepada AFP sambil menunjuk ke arah ladang panel yang berkilauan.
Pemasangan itu sangat besar hingga dapat dilihat dari angkasa lepas.
Analisis imej satelit AFP sepanjang dekad lalu menunjukkan, hanya di Kubuqi sahaja, lebih 100 kilometer persegi panel soalr telah dipasang meliputi kawasan seluas bandar Paris.

Pada Khamis, China berjanji untuk meningkatkan kapasiti angin dan solar lebih enam kali ganda daripada tahap 2020, dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 7-10 peratus daripada paras puncak.
Faktor penentu utama membina di gurun ialah ketersediaan tanah yang tidak digunakan, menurut penganalisis David Fishman.
Namun, kawasan terpencil yang terdedah cahaya matahari ini menghadapi cabaran besar.
Ribut pasir boleh merosakkan ventilator panel, manakala suhu terik mengurangkan kecekapan sel solar. Longgokan pasir juga menuntut penggunaan air yang terhad untuk pembersihan.
Panel solar Kubuqi direka untuk mengatasi halangan ini, dengan ventilator pembersih sendiri serta sel dua muka yang dapat menangkap cahaya pantulan dari tanah, menurut media kerajaan China.

Infrastruktur sebagai kunci
Jarak ke kawasan bandar yang kehausan tenaga serta kerumitan rangkaian elektrik untuk menyalurkan tenaga telah menggagalkan projek gurun dari Afrika Utara hingga Amerika Syarikat.
Tenaga dari Kubuqi disalurkan ke Beijing, Tianjin dan Hebei yang padat penduduk, ratusan kilometer jauhnya.
Namun, pertumbuhan kapasiti solar — yang telah melepasi sasaran kerajaan hampir enam tahun lebih awal — tidak seiring dengan pembangunan grid kuasa.
Ini menyebabkan sebahagian tenaga hilang, di samping kesesakan talian penghantaran.
Untuk mengatasi masalah ini, diperlukan infrastruktur “bagi mengagihkan tenaga secara berkesan ke seluruh negara tanpa mencetuskan penyumbatan,” kata Fishman.
Beberapa kawasan, termasuk Mongolia Dalam, Ningxia dan Gansu, kini “mengetatkan kelulusan projek baharu kecuali dapat dibuktikan tenaga tidak akan disia-siakan,” tambahnya.
Walaupun begitu, pada separuh pertama tahun ini sahaja, China memasang lebih banyak kapasiti solar berbanding jumlah keseluruhan kapasiti solar di Amerika Syarikat pada akhir 2024.

Arang batu
Skala ladang solar gurun yang begitu besar mungkin menimbulkan kesan iklim tersendiri, menurut Zhengyao Lu dari Universiti Lund.
Penyerapan haba di kawasan luas boleh mengubah aliran atmosfera dan memberi “kesan sampingan negatif” seperti pengurangan hujan di tempat lain, katanya.
Namun, risiko tenaga solar “masih kecil berbanding bahaya berterusan pelepasan gas rumah hijau,” tambahnya.
Pengembangan solar tidak bermaksud bahan api fosil ditinggalkan, terutamanya di Mongolia Dalam yang merupakan kawasan perlombongan tradisional.
Di sekitar Kubuqi, trak hitam berjelaga dan cerobong berasap menandakan kelangsungan industri tersebut.
China menambah lebih banyak kuasa arang batu pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama sejak 2016, menurut laporan Ogos lalu.
Bahan api yang mencemar ini “menjadi halangan struktur sebenar kepada pengembangan tenaga angin dan solar,” kata NGO Greenpeace musim panas ini.
‘Peralihan yang baik’
Chang, penduduk tempatan itu berkata, beliau dahulunya bekerja dalam industri arang batu.
Kini, dia menguruskan sebuah hotel berbentuk pondok-pondok kecil di celah bukit pasir, tidak jauh dari ladang solar.

Pemandangan panel solar berkilauan itu menjadi tular dalam talian, menjadikan Kubuqi destinasi pelancongan domestik popular.
“Peralihan ini sangat baik untuk wilayah ini,” kata Chang, 46 tahun.
Aktiviti seperti menunggang ATV, menunggang unta dan meluncur pasir kini menjadi sumber pendapatan baharu bagi penduduk tempatan.
Namun, Chang bimbang pengembangan solar akan menelan seluruh gurun, sekali gus menghapuskan sumber rezeki baharu ini.
“Tapi saya yakin kerajaan akan tinggalkan sedikit untuk kami. Itu sudah memadai” katanya.
– AFP