Nilai sebenar penggunaan cermin mata pintar masih menjadi perdebatan hangat — namun tidak begitu dalam kalangan individu buta, yang semakin bergantung kepada model terbaharu untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.
Adakah restoran ini menyajikan ikan? Adakah bas ini menuju ke kawasan kejiranan saya?
Tiada satu pun pemain utama dalam pasaran cermin mata pintar yang masih baharu ini mereka produk mereka khusus untuk menjawab soalan-soalan sebegini bagi pengguna buta.
Namun, beberapa syarikat pemula kecil — termasuk yang mempamerkan produk di Consumer Electronics Show di Las Vegas minggu ini — membantu membina ekosistem khusus menggunakan produk sedia ada.
Bagi individu yang boleh melihat, cermin mata pintar hanya memberitahu apa yang sudah mereka lihat, kata Aaron Preece, ketua editor majalah AccessWorld terbitan American Foundation for the Blind (AFB).
“Tetapi bagi orang buta, ia sangat berguna.”
Aplikasi telefon pintar sememangnya membantu golongan buta, “tetapi anda perlu memegang peranti itu ke arah yang betul,” kata Preece yang juga seorang individu buta.
“Jika ia berada di kepala, ia jauh lebih intuitif.”
Menurut International Agency for the Prevention of Blindness, seramai 43 juta orang di seluruh dunia adalah buta, manakala 295 juta lagi mengalami masalah penglihatan sederhana hingga teruk.
Cermin mata pintar paling popular ketika ini ialah cermin mata AI Meta, yang hadir dalam gaya Ray-Ban atau Oakley dan boleh menerangkan apa yang berada di hadapan pengguna melalui arahan suara.
Dengan aplikasi Be My Eyes, pengguna juga boleh mendapatkan bantuan sukarelawan untuk menerangkan pemandangan yang dirakam kamera.
Syarikat pemula dari California, Agiga, membangunkan cermin mata EchoVision dengan input daripada pengguna buta, termasuk legenda muzik Stevie Wonder.
Menurut syarikat itu, penerangan audio yang ditawarkan lebih terperinci dan menyeluruh berbanding produk sedia ada.
Kamera sudut 110 darjah pada cermin mata itu merakam 50 peratus lebih luas berbanding cermin mata pintar lain, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agiga, Xiaoran Wang, sekali gus mengurangkan keperluan pengguna menggerakkan kepala.
Pelancaran dirancang pada suku pertama 2026 pada harga AS$599, tidak termasuk langganan perkhidmatan AI. Sebagai perbandingan, harga permulaan Ray-Ban Meta ialah AS$299.
Adakah ini terlalu khusus?
Syarikat Envision dari Belanda baru-baru ini melancarkan model baharu dengan kerjasama pakar Hong Kong, Solos, pada harga AS$699 termasuk akses setahun kepada perisian Ally (AS$10 sebulan selepas itu).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Karthik Mahadevan, meragui kejayaan pengeluar yang hanya menumpukan kepada golongan buta dan kurang penglihatan kerana “anda tidak boleh menjadi mampu milik dan hanya melayani pasaran khusus.”
Beliau lebih memilih kerjasama dengan pengeluar untuk memfokuskan pembangunan perisian yang boleh digunakan merentas pelbagai jenama cermin mata, dan mengalu-alukan model akan datang daripada Google, Samsung dan Lenovo.
Kemajuan AI terus memperluas kemungkinan untuk individu dengan penglihatan terhad atau tiada langsung.
Syarikat pemula HapWare baru-baru ini membangunkan gelang haptik Aleye, yang menggunakan perisian untuk mentafsir sikap dan emosi individu lain secara masa nyata melalui cermin mata bersambung, sebelum menghasilkan tekanan tertentu pada lengan bagi mewakili emosi berbeza.
“Sebahagian besar komunikasi adalah bukan lisan, dan bagi komuniti buta, ia langsung tidak boleh diakses,” kata Ketua Pegawai Eksekutif HapWare, Jack Walters.
Cermin mata pintar Envision turut menawarkan ciri yang membolehkan persekitaran pengguna diterangkan secara berterusan tanpa perlu arahan berulang.
Syarikat itu juga sedang membangunkan pengesan yang boleh memberi amaran spontan mengenai objek atau individu yang menghampiri secara masa nyata.
Envision menggunakan pelbagai model AI, termasuk GPT-5 daripada OpenAI, dengan kemas kini berkala untuk memanfaatkan kemajuan terkini.
Namun, syarikat itu mengakui “ia masih AI dan mungkin tidak sentiasa 100 peratus tepat.”
“Kami tidak benar-benar mengesyorkan orang menggunakan cermin mata pintar sebagai alat navigasi utama,” kata Mahadevan, kerana walaupun kesilapan kecil boleh membawa “akibat serius ketika mengesan halangan.”
Namun, mengetepikan kegunaan tersebut, “terdapat banyak kegunaan lain yang berisiko rendah” dan tetap bermanfaat, seperti mengambil gambar, kata Preece.
“Walaupun tidak sepenuhnya tepat, sekurang-kurangnya saya tahu secara kasar bagaimana gambar itu. Itu sudah sangat membantu.”
AFP.
{suggest}
