Celcom Akan Tamatkan Rangkaian 3G Menjelang Akhir Tahun Ini

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021. Seiring dengan itu, Celcom Axiata Bhd kini mengumumkan rangkaian 3G akan ditamatkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Menurut Celcom, pelan 3 langkah pemberhentian rangkaian 3G telah pun disediakan sepanjang tahun 2021. Sebagai inisiatif, pihaknya juga sedang menjejaki seramai mungkin pelanggan 3G dan menggalakkan pengguna untuk beralih kepada telefon pintar 4G.

Dalam pada itu, Celcom menyatakan seramai 800,000 pengguna masih menggunakan rangkaian 3G, sehingga akhir tahun 2020. Daripada jumlah tersebut, kebanyakan pengguna 3G berada di wilayah utara dan timur.

Terdahulu, kerajaan menyasarkan penamatan sepenuhnya rangkaian 3G pada akhir 2021, di mana ia bertujuan untuk memantapkan lagi rangkaian 4G serta memperkukuhkan asas bagi rangkaian 5G.

Tindakan ini juga merupakan sebagai sebahagian daripada usaha di bawah pelan infrastruktur digital Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menambah baik komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025).

Sumber: BERNAMA