Media hari ini melaporkan, paras empangan Bukit Merah kini berada pada paras terburuk.
Semalam Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam Laporan Ringkas Status Cuaca Panas bertarikh 9 Julai 2024 telah memaklumkan, baki stok simpanan semasa air mentah Empangan Bukit Merah di Perak kini berada pada paras bahaya, iaitu di bawah 20%. (19.97%).
https://www.facebook.com/jpskerian/posts/877149277782820?ref=embed_post
Empangan Bukit Merah sememangnya terkenal kerana di sini terletaknya taman tema air Bukit Merah Laketown Resort yang merupakan antara lokasi percutian popular rakyat Malaysia.
Tetapi mungkin ramai yang tidak tahu, Empangan Bukit Merah yang terletak di dalam daerah Kerian, Perak ini mula dibina pada tahun 1902 dahulu dan ia siap pada tahun 1906 dengan melibatkan kos projek sebanyak RM1.6 juta.
Tujuan utama empangan ini dibina sebenarnya adalah untuk menyediakan air pengairan bagi penanaman dua kali setahun kepada 24,000Ha tanah sawah di bawah Projek Krian-Sg. Manik.
Ia juga menyediakan kira-kira 5.6 cumecs air untuk memenuhi permintaan domestik dan perindustrian bagi Daerah Kerian.
Air takungan ini juga menjadi sumber pendapatan bagi nelayan tempatan.
Empangan Bukit Merah ialah benteng timbusan tanah homogen terubah suai yang terletak di hulu pertemuan Sg. Kurau dengan Sg. Merah di Negeri Perak.
Benteng empangan ini telah dinaikkan daripada RL8.08m kepada RL10.67m dalam Rancangan Malaysia Kedua (1961 hingga 1965) dan sekali lagi pada tahun 1984 kepada arasnya sekarang pada RL11.28m.
Ia mempunyai panjang rabung kira-kira 579m dan ketinggian di titik terdapat lebih kurang 9.1m.
Ia disalirkan oleh kawasan seluas kira-kira 480km persegi dan mempunyai kapasiti storan 92.8Mcm pada RL 9.10m.
Tetapi, apa yang menjadikan Empangan Bukit Merah ini begitu istimewa daripada empangan-empangan lain di Malaysia adalah ia satu-satunya empangan yang mempunyai trek kereta api berkembar yang merentasi tasik ini sepanjang 3.5km.

https://www.facebook.com/groups/461729267900126/permalink/1091123081627405/
Empangan Bukit Merah terdiri daripada empangan utama, dua empangan pelana, satu alur limpah servis berpintu, satu alur limpah tambahan berpintu dan pangkal kerja pengambilan pengairan.
Alur limpah servis dan alur limpah tambahan berada di empangan utama dan terletak di sebelah kiri dan kanan penampan masing-masing.
Terdapat dua unit pintu air di alur limpah servis dan tujuh unit di alur limpah tambahan.
Pangkal kerja pengambilan pengairan berada di penampan kanan empangan Pelana II yang terletak kira-kira 1km dari empangan utama.
Pelepasan dari pangkal kerja dikawal oleh enam unit pintu air gelongsor ke dua terusan pengairan utama, iaitu Terusan Selinsing dan Terusan Besar.

Jadi, jika anda berkunjung ke Taiping atau ke negeri di sebelah utara Semenanjung Malaysia (Pulau Pinang, Kedah, Perlis), singgahlah ke Empangan Bukit Merah dan nikmati keindahan pemandangannya.
Jika kena masanya, anda akan dapat juga melihat kereta api KTMB melintasi tasik tersebut.
Cuma sekarang ini mungkin tak berapa cantik pemandangannya kerana tasik kering.
{suggest}
Rujukan: Bernama, NADMA, Jabatan Pengairan dan Saliran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Railway Technology, ASEAN Skyline, Bukit Merah Laketown Resort