Cari Arah Kiblat Berpandu Piring Astro Dan Aplikasi Telefon Pintar? Ini Jawapan Mufti

Sebagai seorang Islam, adalah wajib kita menunaikan solat 5 waktu sehari semalam dengan menghadap kiblat iaitu Kaabah.

Para ulama sepakat menyatakan bahawa menghadap kiblat merupakan salah satu daripada syarat sah solat melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu yang dibenarkan seperti solat ketika dalam peperangan dan solat sunah dalam keadaan bermusafir.

Malah keempat-empat Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali menetapkan bahawa menghadap Kiblat menjadi syarat sah solat.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menjelaskan, kiblat menurut bahasa adalah arah hadap dan kiblat yang dimaksudkan adalah Kaabah.

Ilmu falak kiblat pula merujuk kepada arah menghadap ke Kaabah di atas glob bulatan bumi mengikut jarak yang terdekat.

Jadi, adalah penting dalam menetapkan arah kiblat berada pada kedudukan yang betul.

PMWP menjelaskan, bagi tempat yang jauh seperti di Malaysia, ijtihad arah Kiblat boleh ditentukan melalui perhitungan falak atau astronomi dengan menggunakan peralatan yang bersesuaian seperti kompas, teodolit dan juga mata angin.

Arah kiblat juga boleh ditentukan berdasarkan kepada kedudukan matahari dan bintang.

Tetapi kemunculan peranti berteknologi seperti telefon pintar menerusi aplikasi khas penunjuk arah kiblat yang dipasang di dalam peranti memudahkan pengguna menyemak arah kiblat walau di mana sahaja mereka berada.




Namun begitu, penggunaan aplikasi kiblat dikalangan masyarakat mengalami banyak isu ketepatan dan kelemahan. Malah ada aplikasi yang memberikan arah kiblat yang jauh berbeza daripada kiblat yang sebenar.

Berikut adalah jadual perbandingan ralat pesongan arah kiblat yang terhasil pada paparan aplikasi kiblat terpilih di lokasi dalam (Blok C) dan luar bangunan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang disediakan oleh Dr Nurulhuda binti Ahmad Zaki dari Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Kapsyen: Tanda (-) : nilai sudut kiblat dipaparkan kurang dari nilai Azimut kiblat sebenar. Tanda (+) ; nilai sudut kiblat dipaparkan lebih dari nilai Azimut kiblat sebenar. (Kredit: mufti.perak.gov.my)


Dalam laman muka soal jawab PMWP menjelaskan, aplikasi telefon pintar yang digunakan bagi penentuan arah kiblat kebiasaannya menggunakan konsep kompas.

Cara menggunakannya perlu betul kerana alat tersebut amat sensitif dengan tarikan magnetik seperti besi, arus elektrik, alat elektronik dan sebagainya dan kegunaannya adalah untuk peribadi sahaja.




Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Professor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin menyatakan, Majlis Fatwa tidak ada halangan sekiranya umat Islam ingin menggunakan aplikasi tertentu terutama di negara yang tidak mempunyai masjid atau surau untuk menentukan arah kiblat.

Namun had pesongan sudut yang ditunjukkan oleh aplikasi kiblat tidak boleh melebihi 10°.

"...dalam praktik menentukan arah kiblat di rumah, masyarakat Islam disarankan menyemak arah kiblat masing-masing. Jangan bergantung sepenuhnya kepada aplikasi kiblat kerana dikhuatiri ketepatannya. Masyarakat Islam di Malaysia disarankan merujuk arah kiblat di masjid terdekat atau menyemak ketepatannya ketika berlakunya fenomena istiwa’ adzam. Penggunaan aplikasi kiblat dibolehkan hanya dalam keadaan keperluan mendesak sahaja. Kita tidak boleh amalkan penggunaan aplikasi kiblat jika tiada masyaqqah mendesak kerana aplikasi kiblat sangat lemah dari segi ketepatan dan mudah terdedah kepada ralat." Dr Nurulhuda binti Ahmad Zaki.




“Penggunaan aplikasi ini hanya boleh dikira sebagai arah anggaran dalam menentukan arah kiblat. Bagi penentuan arah kiblat yang lebih tepat, masyarakat Islam dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti iaitu Jabatan /Pejabat Mufti Negeri-Negeri dalam menentukan arah kiblat terutamanya bagi surau-surau dan masjid.” Ketua Pengarah Jakim.

Berkenaan dengan penentuan arah kiblat berpandukan piring astro pula, PMWP menyatakan bahawa piring Astro tidak mengadap tepat ke arah kiblat. Ia hanya boleh dijadikan panduan setelah kita membuat semakan arahnya dan dibuat pembetulan dari arah kiblat sebenar.

Pengesahan arah kiblat yang dibuat oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri di masjid, surau dan premis-premis awam tidak boleh dibuat perbandingan dengan piring Astro yang berbeza-beza di setiap lokasi. Pengesahan kiblat di premis-premis tersebut menggunakan kaedah, pengiraan, peralatan dan kemahiran yang khusus.

Persoalan sama ada solat yang dilakukan berdasarkan arah kiblat yang ditentukan aplikasi sah ataupun tidak pula, dan adakah perlu qadha solat tersebut, PMWP memilih untuk mentarjihkan pendapat yang mengatakan solat itu sah dan tidak perlu qadha solat tersebut berdasarkan dalil-dalil dan rujukan yang dikemukakan.

{suggest}

Sumber: PMWP, Bayan Linnas: Isu Kesalahan Penentuan Qiblat Dalam Solat, Mufti Perak



Berkaitan