Butiran Spesifikasi Dan Fungsi Samsung Galaxy S11 Mula Didedahkan - Rakaman Video Sehingga 8K Salah Satunya

Seperti kebiasaan, Samsung akan melancarkan model terkini siri "S" pada awal setiap tahun. Pada tahun hadapan, Samsung dijangka akan melancarkan model Galaxy S11 pada bulan Februari iaitu ketika acara Mobile World Congress 2020. Dengan itu, beberapa spesifikasi dan fungsi telah mula didedahkan dan berlegar-legar di internet. Kebanyakan maklumat yang didedahkan adalah berkaitan dengan kamera dan juga rekaannya.

Mengenai kameranya, Galaxy S11 dikatakan bakal dilengkapi dengan sensor kamera 108MP. Ini adalah bersamaan dengan saiz sensor kamera yang dipakai oleh Xiaomi Mi CC 9 Pro/Xiaomi Mi Note 10. Namun, ia dikatakan tidak menggunakan jenis sensor yang sama sebaliknya menggunakan rekaan generasi kedua sensor tersebut. Bersama-sama dengan sensor tersebut, ia turut menyokong rakaman sehingga resolusi 8K menjadikan ia peranti pertama yang mampu berbuat demikian.

Terdapat maklumat lain mengatakan S11 akan mempunyai sebuah kamera khas telefoto dengan kod nama 'Hubble' yang akan mempunyai kualiti lebih hebat dari Note 10. Selain itu, terdapat juga mod khas Director's View, Night Hyperlapse, Single Take Photo, Vertical Panorama dan filter ubahsuai. Untuk Director's View, pengguna boleh menggunakan beberapa kamera dan bertukar-tukar kamera ketika merakam video. Night Hyperlapse pula berkemungkinan merupakan fungsi yang sama terdapat pada mod astrofotografi pada Pixel 4.

Mengenai rekaan, ia tidak akan menggunakan rekaan skrin air terjun seperti vivo NEX 3 dan Huawei Mate 30 Pro. Bezel pada S11 juga akan lebih nipis berbanding pada yang terdapat pada Note 10.

https://twitter.com/UniverseIce/status/1196262117227167744

Berdasarkan sumber, akan terdapat 3 saiz untuk siri Galaxy S11, iaitu 6.4 inci untuk Galaxy S11e, 6,7 inci Galaxy S11, dan 6.9 inci Galaxy S11 Plus. Kesemua model ini berkemungkinan besar akan dijana oleh Snapdragon 865 dan juga Exynos 990 untuk pasaran luar Amerika Syarikat.

Sumber: GSMArena, Ice Universe, Tomsguide