Saintis dilaporkan sedang memerhati rapat ke atas bongkah ais gergasi yang dikenali sebagai A68a sejak ia terpisah daripada Antartika pada Julai 2017 dahulu.
Selain mengekori pergerakan bongkah ais itu, saintis juga membuat pengiraan terhadap jumlah air tawar yang telah dilepaskan oleh A68a ke dalam lautan ketika proses pencairannya.
Menurut saintis berdasarkan kepada pemerhatian mereka dengan menggunakan sistem satelit dalam tempoh 3 bulan iaitu sehingga Mac 2021 lalu, bongkah ais A68a telah melepaskan sejumlah 152 bilion tan air tawar ke sekitar laut di kepulauan Georgia Selatan.
Sebagai gambaran, jumlah itu adalah bersamaan dengan jumlah air yang dimuatkan ke dalam 61 juta kolam renang bersaiz olimpik.
Jumlah air tawar yang mencair itu turut mengalirkan nutrien yang ada di dalamnya sekaligus membimbangkan saintis kerana ia mungkin boleh mengganggu habitat hidupan, peredaran lautan dan biologi rantaian makanan di sekitar kepulauan tersebut.
Saintis memerhati rapat perkembangan bongkah ais A68a menerusi 5 satelit bagi mengekori kedudukan, kawasan, ketebalan dan sebarang perubahan yang berlaku ke atas bongkah ais tersebut.
Diwaktu puncak proses pencairannya, saintis menganggarkan sebanyak 7 meter air dilepaskan A68a dalam tempoh sebulan.
Sepanjang mengekori A68a dalam tempoh 3 tahun 6 bulan, bongkah ais ini telah pun bergerak sejauh 4,000 kilometer.
Sepanjang tempoh itu pula, A68 mengalami beberapa insiden pecahan bongkah ais kecil dan dinamakan sebagai A68b, A68c dan seterusnya ke atas pecahan yang berlaku.
Untuk pengetahuan anda, ketika ia terpisah daripada Antartika, A68a adalah seluas 5,719 kilometer persegi. Sekaligus menjadikannya bongkah ais ke-6 terbesar yang pernah dikesan satelit setakat ini.
Walaubagaimanapun saiznya kini telah mengecil sekitar 12% dari saiz sebenarnya.
Sumber: scitechdaily