Beratus Syarikat Teknologi A.S Menerangkan Kepada Pentadbiran Trump Kesan Buruk Perang Perdagangan Antara Amerika Dan China

Setiap wakil hanya diberi peluang bercakap selama 5 minit sahaja.


Beratus syarikat Amerika daripada pelbagai sektor industri dilaporkan telah bertemu dengan pihak pentadbiran Trump pada awal bulan ini. Ia adalah bagi menerangkan kesan buruk yang bakal dihadapi oleh syarikat mereka seterusnya A.S sendiri sekiranya rancangan kenaikan kadar tarif import seterusnya yang berjumlah sebanyak USD300 bilion yang mahu dikenakan ke atas China dilaksanakan oleh pentadbiran Trump.

Pendengaran yang berlangsung selama 7 hari itu telah berlangsung di Washington sebelum pertemuan Presiden Trump dan Presiden China, Xi Jinping yang dijangka akan berlaku pada hujung minggu nanti.

Setiap wakil dari syarikat teknologi hanya dibenarkan bercakap selama 5 minit sahaja setiap orang bagi setiap sesi pendengaran.

Antara wakil syarikat yang terlibat memberikan penerangan di dalam sesi pendengaran tersebut adalah Colin Angle dari syarikat iRobot Corporation.

Beliau menjelaskan akibat daripada kenaikan tarif yang dikenakan terhadap China, syarikat mereka tidak akan mampu meningkatkan perbelanjaan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta menghalang mereka daripada membayar pada kadar yang lebih baik  kepada pekerja Amerika yang berkemahiran tinggi.

Devi Keller dari syarikat Semiconductor Industry Association juga memberikan nada yang sama. Beliau menjelaskan, tarif tambahan yang dikenakan pada poduk-produk IT akan melemahkan pelaburan dalam teknologi baru. Terutamanya dalam teknologi yang Amerika Syarikat lebih mendahului dari China dan negara-negara lain seperti kecerdasan buatan, teknologi awan, data besar dan analisis.

Seorang lagi wakil bernama Phil Poel dari syarikat Ember Technologies dengan ringkas berkata,

"The imposition of tariffs does nothing to hurt China, but it does a lot to hurt our company."


Apa yang dapat disimpulkan daripada sesi pendengaran tersebut adalah, syarikat-syarikat A.S bimbang kenaikan tarif terhadap China hanya akan memberikan kesan yang lebih buruk terhadap syarikat A.S dan rakyatnya sendiri.

Ini kerana ia boleh mengakibatkan kenaikan kos sara hidup secara mendadak yang berpunca daripada kenaikan harga barangan serta akan menyebabkan berlakunya kadar pengangguran yang tinggi di Amerika.

Sumber: Markets Insider

Berkaitan