Kepakaran anak Malaysia sekali lagi diiktiraf antarabangsa khususnya dalam industri automotif.
Ini terbukti apabila Dr. Noor Izzuan Mat Arishad yang berasal dari Serdang, Kedah dan Ahmad Mustaqim Hatim dari Kota Bharu, Kelantan, kini menjadi tonggak penting dalam inovasi automotif global.
Mereka berdua yang merupakan alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini berkhidmat di Horse Powertrain, syarikat global berpangkalan di Sweden yang menerajui dalam pembangunan teknologi hibrid dan elektrifikasi untuk kenderaan moden.

Permulaan kerjaya
Memulakan karier di Proton, Dr. Izzuan tidak hanya bekerja secara rutin. Beliau terlibat dalam projek kolaborasi teknikal bersama nama-nama besar seperti Lotus Engineering, Ricardo, dan Bosch.
Pengalaman bekerjasama dengan pakar global inilah yang memberikan beliau satu kesedaran penting: Peluang dalam bidang Kejuruteraan Powertrain sebenarnya sangat luas di luar negara.
Pendedahan inilah yang membakar semangat beliau untuk tidak hanya sebagai pemerhati, tetapi menjadi pemain industri di peringkat antarabangsa.
Membuka Jalan ke Pasaran Global: Bukan Satu Jalan Sahaja
Namun, bagi Dr. Izzuan, beliau memilih pendidikan sebagai “pasport” utama untuk beliau mencapai cita-cita ke peringkat antarabangsa.
“Banyak laluan untuk menembusi pasaran global. Saya memilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Automotive Engineering di Loughborough University. Dari situ, ia membuka pintu seluas-luasnya untuk saya berada di dalam pasaran global.”

Ahmad Mustaqim pula mengumpul pengalaman luas dalam sistem kuasa dan elektrifikasi.
Di Horse Powertrain, beliau bertanggungjawab dalam pembangunan System Responsible – Torque & Energy Management Vehicle Motion Control.
Sejak menyertai syarikat itu pada Februari 2022, beliau telah menerajui dan membimbing jurutera dalam pembangunan sistem pengurusan tork dan tenaga termaju untuk kenderaan hibrid dan elektrik.

Antara peranan beliau di Horse Powertrain termasuklah membangunkan perisian dan strategi kawalan untuk pemanduan, kecekapan tenaga, prestasi kenderaan dan sistem pengurusan tenaga pintar.
Antara sumbangan beliau dalam industri automotif antarabangsa melibatkan pelbagai platform kenderaan hibrid di bawah Volvo Cars menerusi model XC90, XC60, V90, V60, S60 dan S90 dari tahun 2024 dan seterusnya.
Bagi mereka yang berminat mengikuti langkah seperti Dr. Izzuan dan Ahmad Mustaqim, Dr. Izzuan ada beberapa tips untuk anda.
Laluan Akademik (Master/PhD)
Bagi graduan yang bercita-cita menembusi sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) antarabangsa seperti Dr. Izzuan, terdapat pelbagai “pintu” yang boleh diketuk untuk membina kerjaya global.
Salah satunya adalah dengan menyambung pengajian di luar negara, khususnya di universiti yang mempunyai hab industri yang kuat.
Ia sekali gus membuka peluang menjalin networking dengan syarikat tempatan di sana melalui projek tesis atau latihan industri.
Selain itu, Program Graduan Antarabangsa yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat gergasi boleh dijadikan batu loncatan di mana mereka melatih bakat muda untuk ditempatkan di pelbagai pejabat cawangan mereka di seluruh dunia.
Dari situ, graduan berpotensi diserap terus ke dalam ekosistem R&D antarabangsa.
Syarikat Multinasional (MNC)
Bekerja dengan syarikat syarikat multinasional (MNC) di Malaysia seperti Intel, Continental, dan Dyson turut menawarkan peluang besar.
Dengan menunjukkan prestasi cemerlang, anda berpeluang memohon internal transfer ke cawangan luar negara untuk memperluas pengalaman kerjaya ke peringkat global.
Platform Freelance & Kontrak Teknikal
Akhir sekali adalah Platform Freelance & Kontrak Teknikal seperti LinkedIn dan GitHub yang membolehkan graduan membina portfolio awal yang kukuh melalui projek open source atau kolaborasi penyelidikan antarabangsa.
Apa yang dapat disimpulkan adalah, walaupun kecemerlangan dalam akademik paling utama, tapi ia bukanlah satu-satunya jalan untuk berjaya.
Faktor lain seperti prestasi dalam kerjaya, jaringan profesional dan keberanian mencipta peluang sendiri turut berperanan dalam mewujudkan laluan untuk membina kerjaya ke peringkat global.
Sepertimana yang dicapai oleh kedua-dua anak Malaysia ini, kini mereka boleh berbangga dengan memainkan peranan penting dalam projek pembangunan automotif menerusi kepakaran mereka dalam teknologi mobiliti hibrid, pengoptimuman perisian kenderaan dan sistem kawalan gerakan termaju merentasi pasaran global.
Kejayaan mereka ini juga sekali gus membuktikan keupayaan univerisiti awam tempatan seperti UTM dalam melahirkan graduan bertaraf dunia.
Semoga, lebih ramai lagi anak Malaysia berani ke pentas global tidak kiralah dalam apa jua bidang sekali pun yang memberi manfaat kepada seluruh dunia.
(Ribuan terima kasih kepada Dr. Noor Izzuan Mat Arishad dan sahabat beliau, saudara Pocik Hisham sebagai perantara, sekali gus menjayakan penerbitan artikel ini.)
{suggest}




