Terdapat dua jenis bateri yang digunakan dalam telefon pintar iaitu lithium-ion (li-ion) dan lithium-polimer (li-po).
Walaupun kedua-dua jenis ini nampak macam sama sekilas pandang, mereka mempunyai teknologi berbeza dan juga kekurangan serta kekurangan masing-masing.
Sehubungan dengan itu mari kita melihat apakah penawaran setiap satu antara jenis bateri lithium-po dan lithium-ion dan mengetahui perbezaan mereka.
Lithium-ion
Bateri lithium-ion adalah merupakan teknologi lama dan dibangunkan sejak dari 1912. Namun hanya mula popular sekitar 1991. Sejak dari itu, bateri lithium-ion banyak digunakan dalam pelbagai alat elektronik seperti kamera, pemain musik dan juga telefon pintar.
Lithium-ion sangat sesuai digunakan pada kebanyakan produk kerana ia mempunyai mampatan tenaga yang tinggi, memberikan saiz kapasiti besar dalam pakej kecil dan juga lebih mudah untuk dihasilkan.
Dari segi kimianya, lithium-ion dibina dari 2 elektrod positif dan negatif dipisahkan dari elektrolit kimia seperti etilena berkarbonat atau diethyl berkarbonat.
Komposisi kimia lithium-ion ini mengehadkan rupa bentuk bateri kepada petak sahaja. Dalam setiap kitaran mengecas, kapasiti bateri lithium-ion lebih laju untuk berkurang berbanding lithium-polimer.
Elektrolit kimia juga boleh menjadi sangat tidak stabil pada suhu ekstrem atau dicucuk secara terus, membuatkan ia boleh meletup atau terbakar.
Namun, kes seperti ini sangat jarang berlaku kerana dalam litar sudah ada komponen pengawal yang memeriksa bila untuk mengecas atau nyahcas demi mengelakkan masalah bateri menjadi terlalu panas.
Lithium-po
Lithium-polimer merupakan teknologi lebih baharu dari lithium-ion. Ia muncul lewat sekitar 1970 dan sudah pun mula digunakan dalam telefon pintar.
Sama seperti lithium-ion, lithium-polimer turut menggunakan elektrod positif dan negatif, namun pemisahnya adalah dari kimia pepejal kering berongga, atau seakan gel, bukannya cecair seperti lithium-ion.
Disebabkan kaedah kimia berbeza ini, bateri lithium-polimer mempunyai fleksibiliti dari segi rekaan dan kurang risiko untuk mengalami kebocoran elektrolit.
Secara praktikalnya, ia adalah lebih selamat dari lithium-ion. Lithium-polimer juga fitrahnya lebih ringan dari lithium-ion.
Namun, kekurangan lithium-polimer ini adalah ia memerlukan kos penghasilan yang tinggi. Kitaran jangka hayatnya juga lebih pendek dan kurang mampat tenganya berbanding litihium-ion untuk kapasiti bateri yang sama.
Perbezaan Dan Perbandingan
Kedua-dua bateri lithium-ion dan lithium-polimer mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Untuk pengeluar yang mahukan kapasiti bateri pada harga yang rendah, mereka akan memilih lithium-ion. Kelemahan utama lithium-ion hanyalah kapasiti bateri yang semakin berkurang seiring dengan kitaran pengecas yang semakin bertambah.
Lithium-polimer pula lebih sesuai dan selamat digunakan terutamanya dalam era pengecasan pantas melebihi 100W ini.
Walaupun kitaran jangka hayatnya lebih pendek, kapasitinya tidak berkurang sepantas lithium-ion.
Tetapi lithium-polimer mempunyai kos pembuatan yang tinggi, kapasiti mampatan bateri yang rendah (telefon akan tebal dan berat).
Jenis Bateri Dalam Telefon Pintar
Jika dilihat dalam pasaran telefon pintar, kebanyakan telefon yang menggunakan bateri lithium-ion datangnya dari model bajet dan pertengahan. Manakala bateri lithium-polimer pula banyak digunakan pada telefon kelas bajet ataupun telefon dengan bateri bersaiz gergasi.
Dari segi praktikaliti dalam pasaran, kebanyakan telefon sekarang sudah mula menggunakan bateri dari jenis li-po seperti siri Samsung S21, Google Pixel 5, Huawei Mate 40 Pro, ASUS ROG Phone 5, dan lain-lain.
Bateri lithium-ion banyak digunakan pada telefon pintar sebelum-sebelum ini namun sekarang semakin kurang digunakan. Antara model yang masih menggunakan li-ion adalah iPhone 12 Pro Max, iPhone SE dan lain-lain.
Untuk powerbank pula, secara umumnya mereka menggunakan bateri dari li-po yang lebih selamat pada suhu ekstrem dan lebih ringan dari li-ion.
Adakah Anda Perlu Kisah Jika Bateri Anda Li-ion Atau Li-Po?
Anda tidak sesuka hati boleh memilih jenis bateri yang dimasukkan dalam telefon pintar kerana itu keputusan pengeluar atau jenama.
Namun dengan mengetahui jenis bateri dapat memberi idea bagaimana mahu menjaga telefon anda.
Contohnya, jika telefon anda datang dengan bateri li-ion, sudah tentu anda akan lebih berhati-hati dengan suhu yang terlampau panas ketika mengecas atau menggunakannya.
Atau contoh lain adalah tidak sewenang-wenangnya mencucuk bateri li-ion dengan garpu untuk menghilangkan kebosanan sendiri.
Secara keseluruhan, bateri lithium-polimer semakin menggantikan bateri lithium-ion dalam telefon pintar perlahan-perlahan disebabkan lebih selamat dan kurang risiko, serta fleksibiliti dalam reka bentuk.