Beratus-ratus bateri kenderaan elektrik (EV) terpakai yang dahulunya dianggap sisa telah temui “kehidupan kedua” apabila ia kini digunakan untuk menstabilkan grid elektrik di Texas.
Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos dan sumber mineral, malah membuka jalan baharu dalam industri tenaga bersih.
Ia merupakan inisiatif oleh B2U Storage Solutions, sebuah syarikat teknologi tenaga berpangkalan di California.
Projek ini bermula apabila mereka menyedari bahawa sistem solar sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan penyimpanan tenaga.

Ketika mencari solusi bateri, mereka menyedari bahawa gelombang pertama bateri EV sedang mengakhiri hayat automotifnya.
Jadi, mereka mula membeli bateri Nissan Leaf terpakai yang masih boleh digunakan untuk ribuan kitaran lagi dalam aplikasi statik dan membangunkan sistem yang membolehkan bateri digunakan terus tanpa perlu diubah suai.
Kelebihan terbesar sistem B2U adalah kemampuannya menggunakan bateri terpakai tanpa pengubahsuaian fizikal, sekali gus menjimatkan kos.
Mereka juga telah membina sistem pintar yang membolehkan bateri dengan kapasiti berbeza beroperasi secara serentak, tanpa gangguan kepada prestasi grid.
Bateri ini yang masih memiliki sekitar 70–80% kapasiti sekali gus menjadikannya sesuai untuk tujuan ini.
Apabila tapak ini beroperasi sepenuhnya nanti, sistem ini dijangka mampu menyimpan sehingga 24 megawatt jam (MWh) tenaga, cukup untuk membekalkan lebih 3,000 rumah sehari.
Bateri-bateri ini akan dicas ketika tenaga boleh diperbaharui (seperti solar dan angin) melebihi permintaan dan kos tenaga rendah, kemudian membekalkan semula tenaga apabila diperlukan semasa waktu puncak.
Projek ini hanyalah permulaan. B2U kini merancang tiga lagi projek simpanan tenaga di Texas, menjelang tahun depan dengan kapasiti keseluruhan mencecah 100 MWh.
Ia bukan sekadar penyelesaian teknikal. Penggunaan semula bateri EV membuka peluang baharu dalam menjadikan tenaga boleh diperbaharui lebih cekap dan mampu milik, di mana sumber sedia ada digunakan semaksima mungkin sebelum dikitar semula.
{suggest}
Sumber: Inside Climate News