Penggunaan bateri dengan kapasiti tenaga tinggi semakin diperlukan kerana peranti elektronik hari ini semakin canggih.
Namun, kebanyakan bateri sekarang menggunakan elektrolit cecair tradisional yang mempunyai risiko keselamatan seperti kebocoran, mudah terbakar, serta boleh menyebabkan bateri cepat rosak akibat tindak balas kimia yang tidak terkawal.
Ini menyebabkan bateri mudah panas, cepat rosak, dan berisiko terbakar atau meletup.
Baru-baru ini, kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Yongsheng Chen dari Universiti Nankai, China, berjaya mencipta elektrolit jenis polimer gel baharu (dipanggil LHCE-GPE) yang jauh lebih selamat dan mempunyai prestasi tinggi untuk bateri litium (Lithium Metal Battery, LMB).
Elektrolit jenis gel ini boleh menahan voltan tinggi sehingga 4.95 V, jauh lebih tinggi daripada elektrolit biasa, selain mempunyai kekonduksian ion yang baik, membolehkan bateri dicas dan digunakan secara lebih cekap.
Elektrolit LHCE-GPE ini juga stabil ketika digunakan dalam bateri jenis silinder 18650 yang sering digunakan secara meluas, membolehkan bateri menghasilkan kapasiti tenaga yang lebih tinggi (250–283 Wh/kg).
Selain itu, bateri yang menggunakan elektrolit ini terbukti lebih tahan lama, mampu dicas semula lebih daripada 1000 kali pada voltan tinggi (4.5 V) dan 2000 kali pada voltan 4.3V tanpa menjejaskan kapasiti bateri.
Lebih penting lagi, elektrolit LHCE-GPE ini menunjukkan ciri keselamatan yang cemerlang. Ia tidak bocor atau terbakar walaupun ketika diuji dalam keadaan ekstrem seperti tusukan paku tajam, berbeza dengan elektrolit cecair biasa yang berisiko tinggi untuk meletup atau terbakar.
Penemuan ini membuka laluan baharu dalam pembangunan bateri berprestasi tinggi dan selamat, yang amat diperlukan dalam pelbagai aplikasi, daripada telefon pintar sehinggalah kepada kenderaan elektrik masa depan.
{suggest}
Sumber: eurekalert