Bank-bank ahli di bawah kelolaan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menggesa pengguna berhati-hati terhadap penipuan penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC)
Ia ekoran peningkatan penipuan penyamaran tersebut yang menjadikan pelanggan bank sebagai sasaran penjenayah.
Mendedahkan modus operandi, scammer akan menyamar sebagai pegawai NSRC dan cuba menakut-nakutkan mangsa dengan mendakwa bahawa maklumat peribadi mereka, seperti nombor Kad Pengenalan atau nombor telefon mereka, terlibat dengan aktiviti haram.
Secara umumnya, scam penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan akan berlaku seperti berikut:
- Scam akan bermula apabila mangsa menerima panggilan dari nombor telefon bimbit yang tidak dikenali, memperkenalkan diri mereka pegawai NSRC
- Scammer kemudiannya akan membuat dakwaan palsu yang menyatakan identiti atau maklumat peribadi mangsa telah digunakan untuk aktiviti jenayah, seperti transaksi akaun keldai
- Kemudian, scammer akan menggunakan taktik ‘soal siasat’ menyamari siasatan sebenar, untuk meyakinkan mangsa terhadap kesahihan siasatan. Ini melibatkan panggilan telefon berulang kali dalam tempoh yang panjang
- Akhirnya, setelah mendapat kepercayaan mangsa, scammer akan meminta mangsa menyerahkan kad debit/ATM mereka pada lokasi yang ditentukan. Ini membolehkan scammer untuk:
- Mengakses akaun perbankan dalam talian mangsa secara haram untuk melakukan pemindahan atau pembayaran bil yang tidak sah. Bahkan scammer juga boleh mendaftarkan akaun perbankan dalam talian, jika mangsa tidak mempunyai akses perbankan dalam talian
- Membuat pengeluaran wang tidak sah di ATM menggunakan kad bank mangsa
Sehubungan itu, orang ramai digesa untuk terus meletakkan telefon sekiranya mereka menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai NSRC, kerana NSRC hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu.
Pihak bank juga menggalakkan orang ramai untuk berhati-hati terhadap scammer yang menyamar sebagai pegawai dari agensi penguatkuasaan dan badan kawal selia, seperti Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, yang menggunakan ancaman dan taktik menakut-nakutkan melalui panggilan telefon untuk memanipulasi mangsa memindahkan wang dari akaun bank mereka dan mendedahkan butiran perbankan dalam talian mereka.
Selain itu, pihak bank juga ingin mengingatkan pelanggan bahawa mereka TIDAK akan meminta maklumat peribadi pelanggan seperti:
- Nombor kad debit/ kredit dan nombor nilai pengesahan kad (CVV)
- Nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian
- Nombor SMS OTP/TAC
Untuk melindungi diri dari pelbagai jenis scam, pelanggan digalakkan untuk mengamalkan langkah-langkah keselamatan dalam talian yang mudah seperti berikut:
- Jangan klik pautan daripada nombor yang tidak dikenali
- Jangan muat turun sebarang aplikasi dari pautan, terutamanya melalui aplikasi permesejan seperti Telegram dan WhatsApp. Hanya muat turun aplikasi daripada platform rasmi seperti Apple App Store dan Google PlayStore
- Jangan kongsi nama pengguna dan kata laluan perbankan anda dengan sesiapa, termasuk rakan dan ahli keluarga
- Jangan layan panggilan telefon atau mesej dari nombor telefon yang tidak dikenali
Pelanggan yang telah menjadi mangsa scam harus menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di 997 atau talian khidmat pelanggan 24/7 bank untuk mendapatkan bantuan dengan segera.
{suggest}
Sumber: Siaran media ABM dan AIBIM