Bagaimana Pengeluar Telefon Pintar China Berjaya Bangkit Menjadi Satu Kuasa Besar Industri

Masihkah anda ingat sewaktu telefon pintar keluaran China dianggap sebagai peranti tidak berkualiti satu masa dulu? Dengar sahaja keluaran China, pasti kebanyakan daripada kita memandangnya dengan sebelah mata sahaja kerana ia dipandang sebagai barangan yang berkualiti rendah dan tidak akan mampu bertahan lama.



Namun hari ini, segalanya telah berubah. China bukan sahaja mempunyai pengeluar-pengeluar peranti terkemuka seperti Huawei, Oppo dan Xiaomi, malah kuasa besar seperti Apple juga menjadi negara tembok besar itu sebagai hab pengeluaran mereka. Bagaimanakah semua ini boleh terjadi? Mari kami rungkaikan serba sedikit berkenaan perkara ini.

Semuanya bermula pada tahun 2006 apabila jualan telefon pintar domestik di China telah menembusi angka 100 juta unit buat kali pertama dalam sejarah. Setahun selepas itu, jualan telah meningkat sebanyak 90% kepada 190 juta unit terjual.

Tambahan pula, jumlah eksport peranti keluaran China juga meningkat sebanyak 125.45%, iaitu dari 385 juta unit(2006) kepada 482 juta unit pada tahun 2007.



Namun, titik kebangkitan bagi peranti dari China sebenarnya bermula sejak 2008 dan 2009 apabila sistem Android mula digunakan secara meluas dalam arena telefon pintar.

Sistem operasi yang kurang baik menjadi salah satu punca kegagalan peranti dari China sebelum ini. Maka dengan hadirnya sistem Android yang diperkenalkan pertama kali pada September 2008 ini, ia seolah memberi nafas baru kepada syarikat-syarikat pembangun dari China ini.



Sejak beberapa tahun selepas itu, beberapa jenama terkemuka hari ini seperti Oppo, Vivo, Xiaomi dan Huawei mula bangkit dan menjadi semakin popular. Populariti dan jualan mereka bukan sahaja meningkat di peringkat domestik, malah di peringkat global.

Jumlah jualan yang semakin meningkat itu memberikan sumber kewangan yang lebih tinggi kepada pengeluar-pengeluar ini untuk menghasilkan peranti dengan teknologi yang lebih baik.



Selain daripada keupayaan dan kualiti peranti itu sendiri, saiz pasaran yang sangat besar dan keupayaan untuk mendapatkan alternatif bagi bahan binaan peranti juga turut membantu para pembangun.

Dengan ini, mereka bukan sahaja mempunyai pelanggan sasaran yang ramai, malah turut mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan untuk membangunkan peranti.

Ia sekaligus akan membolehkan para pengeluar membuat pilihan bagi memperolehi bahan yang diperlukan dengan harga termurah disamping kualiti yang terbaik.



Malah, kos penghasilan mereka juga adalah rendah memandangkan purata gaji di negara China adalah kecil berbanding kebanyakkan negara maju lain.

Perkara ini menyebabkan para pembangun mampu untuk menawarkan produk akhir dengan kualiti yang terbaik pada harga yang paling rendah. Dan ternyata perkara ini sukar untuk disaingi oleh para pesaing mereka.

Jika dilihat semula bagaimana peranti dari China ini berjaya memikat hati pengguna telefon pintar seluruh dunia, ia seolah-olah memberi satu pengajaran di mana sekiranya kita berusaha dengan gigih dan bijak menggunakan sumber yang ada, kita pasti berjaya dalam segala apa yang diusahakan.

Sekian.

 

Sumber : CNBC  INeedaMobile  ComputerWorld