ASUS Zenfone 5 Mula Dijual di Pasaran Asia

Sebuah lagi peranti yang mempunyai takuk, ASUS Zenfone 5 sudah mula dijual di pasaran Asia iaitu di Taiwan dan Singapura. Peranti yang kelihatan hampir serupa dengan peranti Apple iPhone X ini sudah diumumkan pada Mobile World Congress 2018 bulan lalu. Walaupun hadir dengan reka bentuk iPhone X, peranti ini adalah merupakan peranti kelas pertengahan.



Disokong oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 636 serta saiz paparan skrin 6.2 inci, 0.4 inci lebih besar daripada iPhone X namun mempunyai takuk yang 26% lebih kecil daripada peranti Apple tersebut. Menurut laporan Taiwan News, telefon Zenfone 5 ini akan menjadi peranti Zenfone pertama yang menggunakan fungsi AI selain Zenfone 5Z.

Menurut mereka lagi, Pengerusi ASUS Jonney Shih juga berpendapat bahawa peranti ini bakal menjadi peranti yang memiliki pakej prestasi dengan harga terbaik yang pernah dihasilkan oleh mereka. Dengan harga jualan yang ditawarkan bagi pasaran Taiwan ialah US$ 400 (~ RM 1,551.80), ASUS Zenfone 5 dijangka akan mendapat sambutan hangat berdasarkan maklum balas pelanggan kepada pihak ASUS.



Zace Huang, Naib Presiden Jualan Asustek Taiwan  turut memberitahu bahawa peranti ini akan mula memasuki pasaran di Filipina pada 14 April. Sementara itu, di pasaran Singapura pula, harga jualan yang disarankan oleh pihak ASUS ialah sekitar S$ 488 (~RM 1325) dan dijual secara eksklusif hanya di kedai rasmi ASUS di  LAZADA Singapura.

Bagi peminat produk ASUS Zenfone, anda boleh bersedia tentang pengumuman rasmi daripada ASUS Malaysia berkenaan tarikh pelancaran peranti Zenfone 5 ini buat pasaran Malaysia yang dijangka akan dibuat tidak lama lagi.

Sumber