Telefon pintar memfokuskan aplikasi permainan sudah menjadi perhatian setahun dua ini. Salah satu daripada model yang popular adalah ROG Phone yang kini sudah berada di generasi kedua.
Perkembangan terbaru mengenai siri tersebut, media Taiwan, Commercial Times melaporkan ASUS bakal mengumumkan dua buah telefon pintar, ASUS ROG Phone 3 serta ZenFone 7 pada bulan Julai.
Pastinya tumpuan ramai akan lebih terarah kepada ROG Phone 3 dan spesifikasi apakah yang bakal dibawa pada model berkenaan. Menurut GSMArena, ROG Phone 3 sudah menerima pengiktirafan Wi-Fi daripada WiFi-Alliance baru-baru ini.
Berdasarkan ura-ura awal, ia akan dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 865 sementara lain-lain kelengkapan masih belum dapat dipastikan lagi.
Bagi siri ZenFone pula, model ZenFone turut diuar-uarkan akan tampil bersama-sama peranti gaming itu dan ia merupakan pengganti kepada ZenFone 6, telefon pintar yang mempunyai ciri kamera flip dari belakang ke hadapan.
Sumber: Commercial Times via GSMArena