ASUS Perkenalkan Model Terbaru VivoBook S14 Dan S15

Komputer riba ultra mudah alih ini kini dilengkapi dengan skrin sekunder ASUS ScreenPad 2.0 yang mampu meningkatkan produktiviti penggunanya.


ASUS hari ini mengumumkan kehadiran model terbaru VivoBook S14 (S431 / S432) dan VivoBook S15 (S531 / S532) . Ia merupakan sepasang komputer riba ultra mudah alih tetapi tetap dilengkapi dengan cip pemprosesan berprestasi tinggi.

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i7, cip grafik NVIDIA GeForce MX250 serta storan PCIe SSD berkapasiti sehingga 1TB. Malah model VivoBook ini juga yang pertama dilengkapi dengan kamera infra merah bagi menyokong ciri  imbasan wajah dan sambungan tanpa wayar Wi-Fi 6 berkelajuan tinggi.

Selain itu, VivoBook S14 dan VivoBook S15 ini juga dimuatkan dengan skrin sentuh ScreenPad 2.0 yang bersaiz 5.65".

Kapsyen: ScreenPad 2.0 dikuasakan oleh perisian ScreenXpert.


Menurut ASUS, skrin mini kedua ini tersedia koleksi aplikasi ASUS di dalamnya yang dapat menjadikan proses kerja bersama komputer riba ini lebih efisyen sekaligus meningkatkan produktiviti pengguna mereka.

VivoBook S14 dan VivoBook S15 menggunakan kerangka besi yang kukuh serta terdapat 6 pilihan warna menarik untuk pengguna iaitu Moss Green, Punk Pink, Cobalt Blue, Transparent Silver dan Gun Metal.

Kapsyen: VivoBook S14 dan S15 juga menawarkan pelekat reka bentuk unik kepada salah satu daripada lima warna yang ditawarkan, khusus untuk pengguna muda bagi menjadikannya lebih menarik lagi VivoBook mereka.


Kedua-dua model VivoBook S14 dan S15 ini dibekalkan dengan bateri 42Wh dan ASUS masih belum mendedahkan tarikh penawaran model-model diatas.