Sudah menjadi tradisi ARM melancarkan teras baharu yang bakal digunakan untuk pengeluar peranti pintar. Pada tahun 2019 ARM memperkenalkan teras Cortex-A77 untuk digunakan pada cip tahun 2020 seperti Snapdragon 865 dan MediaTek 1000.
Untuk peranti pintar tahun 2021, ARM kini telah mengumumkan teras dan produk baharu iaitu CPU Cortex-A78, CPU Cortex-X1, GPU Mali-G78, dan GPU Mali-G68.
Kedua-dua CPU Cortex-A78 dan Cortex-X1 adalah direka berpandukan generasi sebelumnya Cortex-A77. Namun, kedua-dua cip ini mempunyai sasaran cip yang berbeza.
Pada Cortex-A78, ia memfokuskan kepada kecekapan tenaga dan memberikan prestasi yang tinggi dalam saiz lebih kecil berbanding sebelumnya. Cortex-X1 pula adalah berbeza di mana ia memfokuskan kepada prestasi maksimum yang boleh dicapai.
Cortex-A78
Sebagai kesinambungan kepada Cortex-A77 sebelum ini, Cortex-A78 memberikan peningkatan prestasi sebanyak 7%. Walaupun ia tidaklah sebanyak mana, dari aspek lain, terdapat banyak peningkatan terutamanya dari segi kecekapan tenaga.
Pada Cortex-A78, ia menawarkan 20% peningkatan prestasi bertahan disebabkan penggunaan senibina yang baru dan juga proses 5nm yang terkini.
Menurut ARM, teras 5nm Cortex-A78 2.1GHz menggunakan 50% kuasa lebih rendah berbanding teras 7nm Cortex-A77 2.3GHz. Sudah tentu ini akan meningkatkan prestasi ketahanan bateri untuk peranti pintar yang bakal menggunakan CPU ini kelak.
Cortex-X1
Untuk pengeluar yang mahukan prestasi lebih hebat berbanding teras generasi sebelumnya, ARM memberikan jawapannya melalui Cortex-X1. Cortex-X1 ini merupakan hasil produk dari program terbaharu ARM, Cortex-X Custom (CNC).
Dengan program ini, ia membolehkan pengeluar lain mereka sendiri cip kustom tersendiri mengikut kemahuan mereka. Dan Cortex-X1 ini adalah merupakan produk kelahiran pertama melalui program itu.
Dari segi prestasi, ia jauh berkuasa dengan menawarkan peningkatan 30% berbanding Cortex-A77. Dengan kuasa sebegini, sudah tentu ia memberikan keburukan dari segi ketahanan bateri.
Disebabkan itu, jika ada pengeluar yang mahu menggunakan teras Cortex-X1 ini, kemungkinan besar mereka hanya menggunakan satu teras sahaja dan memadankannya dengan Cortex-A78 lain untuk ketahanan bateri yang lebih seimbang.
Cortex-X1 ini juga menggunakan seni bina berbeza dengan Cortex-A78. Antaranya adalah ia dimuatkan dengan lebih banyak memori dan juga saiz cache yang lebih besar.
Untuk pengeluar seperti Qualcomm atau Samsung menghasilkan cip yang paling berkuasa dari ARM, mereka harus terlebih dahulu mempunyai akses ke dalam program CXC ini. Buat masa ini, kemungkinan besar Qualcomm sudah mempunyai akses disebabkan pegangan besar pengeluar cip ini dalam pasaran peranti pintar.
Mali-G78
ARM juga turut memperkenalkan GPU terkini mereka paling berkuasa iaitu Mali-G78. Mali-G78 ini merupakan kesinambungan kepada Mali-G77 tahun lepas dan masih lagi menggunakan seni bina Vallhall yang telah dikemaskini.
Dengan Mali-G78, ia memberikan peningkatan prestasi 25% berbanding Mali-G77 dalam proses 5nm. Pengeluar boleh menggunakan bilangan teras ini dari 7 kepada maksimum 24 teras, secara tidak langsung meningkatkan kuasa grafik berbanding hanya 16 teras sahaja pada Mali-G77.
Menurut ARM, prestasi khusus untuk bermain permainan dipertingkatkan dari antara 6% dan 17% bergantung kepada bilangan teras yang digunakan oleh peranti pintar. Selain itu, Mali-G78 ini lebih cekap tenaga dengan 10% pengurangan kuasa dan juga 15% prestasi pembelajaran mesin.
Mali-G68
Untuk peranti kelas pertengahan yang tidak memerlukan GPU terlampau berkuasa, ARM menawarkan Mali-G68 pula. Buat pertama kalinya, ARM mewujudkan GPU ini disasarkan untuk kelas ‘sub-premium‘, diposisikan antara GPU prestasi tinggi dan GPU arus perdana.
Walaupun namanya berbeza, GPU ini masih lagi menggunakan senibina sama seperti Mali-G78. Apa yang membezakan mereka adalah Mali-G68 hanya menyokong sehingga 6 teras maksimum sahaja.
Dengan teras CPU dan GPU yang diumumkan oleh ARM, kita boleh menjangkakan cip pemprosesan terkini menggunakan teras ini dari Qualcomm, Samsung, Huawei, Apple dan juga MediaTek seawal hujung tahun ini ataupun awal tahun 2021 kelak.
Sumber: ARM