Apple Halang Pembangun Daripada Berkongsi Data Pengguna Dengan Pihak Ke-tiga

Mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku kepada Facebook, Apple Inc telah pun menghalang mana-mana pembangun aplikasi mereka untuk berkongsi maklumat berkenaan data peribadi serta sebarang nombor telefon berkaitan pengguna mereka dengan pihak ke-tiga.

Pihak Apple memperketatkan peraturan pada gerai aplikasinya, App Store bagi mengelakkan data penyalahgunaan data milik pengguna tanpa pengetahuan. Sebelum ini, pembangun aplikasi di App Store boleh meminta akses kepada maklumat seperti nombor telefon pengguna dengan bebas. Namun perkara tersebut tidak akan dapat dilakukan lagi.

Bagaimanapun, para pembangun masih boleh meminta maklumat seperti nombor telefon pengguna dengan syarat mereka menjelaskan kepada pengguna tentang apa yang mereka akan lakukan dengan maklumat berkenaan. Jika ingkar, tindakan mungkin akan dikenakan terhadap mereka.



Skandal berkaitan penyalahgunaan data ini telah berlaku kepada Facebook di mana mereka didakwa telah berkongsi data pengguna mereka tanpa kebenaran dengan pihak Cambridge Analytica. Perniagaan Facebook menjadi teruk selepas itu dan Cambridge Analytica sendiri dalam proses untuk menghentikan perniagaan mereka.

Sehubungan dengan itu, Bloomberg melaporkan Apple telah mengeluarkan arahan kepada pembangun mereka berkenaan perkara ini pada persidangan pembangun aplikasi Apple, WWDC 2018 yang berlangsung pada 4 Jun hingga 8 Jun yang lalu. Namun, perkara ini tidak dihebohkan kepada umum sebelum ini.

Sumber