Apple Dikatakan Bakal Hadir Dengan Tiga iPhone 2019, Salah Satunya Mempunyai 3 Kamera Belakang

Bagi penggemar peranti Apple yang menuruti khabar-khabar angin jenama itu pasti biasa melihat nama Min Chin Kuo.

Beliau kini sekali lagi hadir dengan informasi mengenai barisan iPhone yang bakal diperkenalkan untuk tahun 2019.

Difahamkan, Apple bakal mengeluarkan tiga model iPhone 2019 dengan ukuran paparan 6.5 inci, 5.8 inci serta 6.1 inci, sama seperti saiz paparan model sedia ada.

Ketiga-tiganya juga dikatakan akan mengekalkan port sambungan Lightning.

Menurut makluman Kuo yang dipetik dari laporan 9t05Mac, iPhone 2019 akan dilengkapi dengan sambungan jalur ultra lebar untuk pengesanan kedudukan dan navigasi tertutup, panel belakang diperbuat daripada kaca, pengecasan berbalik tanpa wayar, ciri Face ID yang dipertingkatkan, kapasiti bateri yang lebih besar, dan salah satu daripadanya bakal mempunyai tiga lensa kamera belakang.

Kuo tidak menyatakan secara terperinci model mana yang akan menyertakan tetapan 3 kamera tetapi desas-desus sebelum ini menyatakan ia adalah model iPhone 11 Max.

Sebuah lagi model dikatakan bakal pengganti iPhone XR, akan menggunakan paparan jenis LCD 6.1 inci. Ini sedikit bercanggah dengan laporan sebelum ini.

Selain daripada iPhone, Kuo juga menyatakan Apple bakal memperkenalakn dua iPad dengan saiz 10.2 inci, Macbook Pro 16 inci dan paparan 6K berukuran 32 inci.

Sumber: 9t05Mac