Apple Dijangka Lancarkan Model iPad Mampu Milik Menggunakan Cip A12 Tahun Ini

Setiap tahun Apple akan mengemaskini produk mereka dengan perkakas terkini yang lebih relevan untuk kegunaan jangka masa panjang. Sebelum ini kita sudah ada kemaskini komputer riba Macbook malah peranti pintar iaitu iPhone SE.

Untuk iPad pula, produk ini dijangka akan dikemaskini sekitar bulan Jun menerusi acara WWDC Apple 2020 nanti. Melalui laporan dari penganalisis Ming-Chi Kuo, akan terdapat beberapa model dari iPad yang bakal dilancarkan.

Tambahannya lagi, Apple akan mengemaskini model iPad dengan menggunakan kaedah sepertimana iPhone SE iaitu dengan menggunakan gabungan komponen lama. Antara spesifikasi yang dijangka adalah model iPad ini akan menggunakan cip A12.

Dengan menggunakan cip A12 yang lama, sudah tentu Apple dapat mengekalkan harga iPad dalam lingkungan harga mampu milik. Dengan iPhone SE, Apple juga menggunakan komponen iPhone 8 yang lama untuk memastikan harga jualan yang rendah. Jadi, tidak mengejutkan jika Apple menggunakan kaedah sama dalam menjual iPad pula.

Jadi mengapa Apple tidak menggunakan cip A13 yang lebih pantas? Melihat kepada barisan produk iPad, tiada lagi tablet Apple yang menggunakan cip ini. Malahan, model iPad Pro yang paling berkuasa pun menggunakan cip A12Z. Jika Apple mahu menggunakan cip A13 untuk iPad tahun ini, mereka perlu terlebih dahulu melancarkan iPad berkuasa dengan spesifikasi premium pada barisan model flagship.

Disebabkan model premium mereka pun hanya menggunakan setakat cip A12Z, tidak mungkin Apple bakal memuatkan cip A13 yang lebih pantas pada model iPad yang lebih rendah harganya.

Sumber: MacRumors, L0vetodream

Berkaitan