Aplikasi VivaVideo Dikesan Cuba Lakukan Lebih 20 Juta Transaksi Yang Meragukan

Sedia dimuat turun lebih dari 100 juta kali dan kadar kepopularan 4.4 bintang di PlayStore, aplikasi VivaVideo mungkin perlu dielak dari dipasang pada telefon pintar.



Menerusi laporan yang disediakan oleh Upstream, platform anti-penipuan Secure-D telah berjaya menyekat lebih dari 20 juta transaksi yang meragukan.

Difahamkan, transaksi dengan nilai melebihi $27 juta itu dikesan dari cubaan memulakan langganan premium aplikasi itu. Ia dilakukan melalui iklan yang tidak dilihat oleh pengguna dan seterusnya menghasilkan klik palsu. Proses tersebut tetap berjalan walaupun pengguna tidak menggunakan peranti.

Lebih dari sejuta peranti dari 19 buah negara terkesan dengan isu ini seperti Indonesia, Thailand, Mesir, Rusia dan UK. Sementara itu, Brazil merupakan negara yang paling banyak menghadapi masalah tersebut dengan nilai 11.5 juta cubaan transaksi berasal daripada aplikasi berkenaan.

Upstream juga mendapati bahawa aplikasi tersebut mengandungi kod yang memeriksa perisian pemantauan pada peranti. Semasa perisian ini dipasang, aplikasi didapati berhenti menjalankan semua aktiviti latar belakang yang mencurigakan bagi menutup tingkah laku penipuannya.

Disebutkan juga, versi lama aplikasi VivaVideo dikesan mengandungi Batmobi SDK yang mana ia telahpun disekat dari PlayStore. Namun begitu, Upstream menyatakan bahawa SDK tersebut masih lagi bebas dikongsikan Android versi lama terutama sekali menerusi aplikasi pihak ketiga seperti ShareIt.

Upstream turut menasihati mana-mana pengguna yang ada memasang aplikasi ini pada peranti supaya membuat kemaskini kepada versi terkini.