Aplikasi Snaptube Didapati Mengandungi Perisian Hasad Bagi Mengaut Keuntungan Mudah

Buang segera dari peranti Android anda.


Para pengguna peranti Android mungkin tidak asing dengan aplikasi popular Snaptube. Berdasarkan semakan dari laman stor Android pihak ketiga, uptodown, Snaptube telah diulang muat turun lebih daripada 1041.8 juta kali.

Kapsyen: SnapTube tidak ditawarkan di Google Play Store. Sebaliknya ia ditawarkan menerusi stor pihak ketiga untuk peranti Android seperti uptodown.


Aplikasi Snaptube membolehkan pengguna peranti Android memuat turun video-video YouTube dan Facebook. Ia dibangunkan oleh firma pembangun aplikasi dari China, Mobiuspace.

Cuma apa yang menjadi isu sekarang adalah aplikasi tersebut didapati mengandungi perisian hasad. Perisian hasad di dalam aplikasi itu dikesan oleh platfom keselamatan Secure-D di mana ia telah menghalang lebih daripada 70 juta permintaan transaksi meragukan melalui telefon pintar Android yang dipasang pada lebih 4.4 juta peranti Androiddalam tempoh 6 bulan sahaja.

Ia dideahkan oleh pihak pihak keselamatan dari Upstream baru-baru ini.

Snaptube didapati mengandungi iklan-iklan tersembunyi dari dipaparkan kepada pengguna. Dari situ ia menghasilkan klik aktif tanpa interaksi pengguna dan transaksi pembelian seterusnya melaporkan segala aktiviti yang kononya berlaku itu (menipu)  kepada rangkaian iklan berdaftar bagi mengaut keuntungan mudah seperti dari Altamob, Batmobi, Infomobi dan Mango.

Kapsyen: Contoh iklan tersembunyi yang aktif disebalik tabir peranti Android. Kredit: Upstream


Malah Snaptube juga boleh menyebabkan tanpa disedari penggunanya, mereka telah melanggan perkhidmatan yang tidak dilanggan mereka. Menyebabkan data dan proses pembayaran atas talian yang digunakan mereka berlaku tanpa sedar.

Sekaligus menyebabkan mereka menjadi mangsa penipuan dan kehilangan wang mereka sedikit-demi sedikit.

Ini bukanlah kali pertama aktiviti mencurigakan berkaitan dengan aplikasi Snaptube dilaporkan. Sebelum ini pada bulan Februari lalu, penyelidik keselamatan dari Sophos telah turut mendedahkan penipuan iklan yang dilakukan oleh aplikasi Snaptube menerusi laporan khas bertajuk "Sophisticated ad fraud permeates the mobile app ecosystem".

Oleh itu, pengguna Android dinasihatkan supaya menyemak aplikasi yang dimuat turun mereka sama ada mengandungi aplikasi-aplikasi yang mencurigakan.

Sekiranya ada, pengguna dinasihatkan segera membuang aplikasi tersebut dari peranti Android mereka.

Berkaitan