Aplikasi Popular Android Ini Didapati Telah Mendedahkan 2 Juta Kata Laluan Rangkaian

Aplikasi pencari sambungan WiFi Finder telah dimuat turun oleh beribu pengguna peranti pintar.


Seorang penyelidik keselamatan siber bernama Sanyam Jain telah mendedahkan sebuah aplikasi popular Android yang berfungsi sebagai pencari sambungan WiFi telah mendedahkan lebih daripada 2 juta kata laluan rangkaian.

Beliau yang juga merupakan ahli GDI Foundation telah melaporkan penemuan ini kepada laman TechCrunch.



Menurut beliau, aplikasi yang dikenali sebagai WiFi Finder ini membenarkan pengguna untuk memuat naik kata laluan rangkaian yang bersambungan dari peranti mereka kepada pangkalan data untuk orang lain menggunakannya.

Walaubagaimanapun, pangkalan data yang menyimpan lebih daripada dua juta rangkaian itu telah terdedah dan tidak dilindungi.

Sekaligus membolehkan sesiapa sahaja mengakses dan memuat turun kandungan yang ada di dalamnya.

Berikutan itu, pihak TechCrunch dalam tempoh 2 minggu telah pun cuba menghubungi pembangun aplikasi tersebut yang dipercayai berpangkalan di China. Malangnya tiada sebarang respon.

Akhirnya mereka terpaksa menghubungi pelayan aplikasi itu iaitu DigitalOcean bagi memaklumkan isu ini dan pihak pelayan telah dengan segera menurunkan pangkalan datanya.

Jadi, sekiranya anda ada memiliki dan menggunakan aplikasi WiFi Finder ini, bolehlah segera membuangnya dari peranti pintar anda.