Aplikasi Permesejan Popular Ini Mendedahkan Jutaan Gambar Peribadi Dan Fail Pengguna

Go SMS Pro merupakan aplikasi permesejan popular bagi peranti Android. Terbaru, aplikasi ini dilaporkan telah mendedahkan gambar, video dan fail lain yang dihantar secara peribadi oleh penggunanya.

Walaupun pembangun aplikasi Go SMS Pro telah dimaklumkan mengenai isu berkenaan, masih tiada tindakan yang dibuat untuk membaikpulih masalah tersebut.

aplikasi Go SMS Pro

Pada Ogos lalu, penyelidik keselamatan di Trustwave telah mengesan perkara ini dan telah menghubungi pembangun aplikasi untuk membaikpulih isu berkenaan dalam tempoh 90 hari. Bagaimanapun, setelah tempoh tersebut tamat tanpa tindakan dari pembangun, isu berkenaan didedahkan kepada umum.

Menerusi perkongsian Trustwave, apabila pengguna menghantar gambar, video atau fail lain kepada pengguna yang tidak mempunyai aplikasi berkenaan, Go SMS Pro perlu memuatnaik fail berkenaan kepada pelayan.

Seterusnya, ia membolehkan pengguna berkongsi URL melalui pesanan teks kepada penerima. Dengan itu, barulah penerima yang tidak mempunyai aplikasi berkenaan boleh melihat kandungan fail tersebut.

Pautan berurutan dan boleh diramalkan


Akan tetapi, penyelidik telah mendapati alamat web ini mempunyai pautan yang berurutan dan boleh diramalkan. Dengan tiada pengesahan yang diperlukan, ia bermakna sesiapa sahaja yang mempunyai pautan berkenaan boleh melihat kandungan yang dikongsikan.

Malah, URL tersebut boleh diubah untuk melihat kandungan yang lain. Secara teorinya, sesiapa sahaja boleh membuat URL berurutan secara automatik sehingga dapat mencari dan melayari lebih banyak kandungan peribadi yang dikongsi oleh pengguna Go SMS Pro.

TechCrunch turut mengesahkan apa yang dikesan oleh penyelidik tersebut. Menurutnya,

"In viewing just a few dozen links, we found a person’s phone number, a screenshot of a bank transfer, an order confirmation including someone’s home address, an arrest record, and far more explicit photos than we were expecting, to be quite honest."

Sehingga kini, aplikasi Go SMS Pro telah dimuat turun lebih 100 juta di Play Store.

aplikasi Go SMS Pro

Jika ada yang masih menggunakan Go SMS Pro dan ingin memastikan kandungan yang dikongsikan tidak didedahkan kepada umum, anda mungkin perlu beralih kepada aplikasi permesejan lain yang lebih selamat.

Sumber: TechCrunch