Sebuah aplikasi dengan nama yang kedengaran suram, 死了么 (sǐ le me) atau diterjemahkan sebagai ‘Are You Dead?’, kini melonjak ke tangga teratas carta aplikasi berbayar App Store di China dan mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.
Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa ia menjadi tular di China?

‘Are You Dead?’ pada dasarnya ialah aplikasi keselamatan ringkas yang direka untuk individu yang tinggal sendirian, terutamanya golongan muda yang tinggal di bandar-bandar utama.
Seperti dilaporkan ITHome, aplikasi ini dibangunkan oleh sebuah pasukan kecil yang terdiri daripada tiga ahli, menggunakan kerjasama jarak jauh untuk menyiapkan pembangunan. Di China, ia tersedia di App Store pada harga 8 yuan.
Aplikasi ini menggunakan mekanisme daftar masuk harian dan hubungan kecemasan untuk membina perlindungan keselamatan.
Sebelum menggunakan, pengguna perlu menetapkan senarai kenalan kecemasan terlebih dahulu dan membuat daftar masuk harian dalam aplikasi. Jika pengguna gagal daftar masuk selama beberapa hari berturut-turut, sistem akan secara automatik menghantar e-mel kepada kenalan kecemasan pada hari berikutnya sebagai mekanisme amaran.

Ini sebabnya tular di China
Sebenarnya, yang membuat ‘Are You Dead?’ tular ialah nama aplikasinya. Beberapa pengguna di negara itu berpendapat nama berkenaan terlalu berterus-terang dan boleh menimbulkan rasa tidak selesa.
Ada juga cadangan untuk menggunakan nama yang lebih halus seperti “活着么” atau bermaksud “Still Alive?”, lebih kedengaran lembut dan mudah diterima.
Menjawab kontroversi nama, salah seorang ahli pasukan, Lü, berkata dalam temu bual bahawa pasukan belum menerima sebarang notis daripada pihak berkuasa untuk menukar nama, dan buat masa ini tidak merancang untuk menukar.
Beliau menjelaskan walaupun perkataan “mati” jarang disebut secara langsung dalam konteks sosial, kematian adalah realiti yang perlu dihadapi oleh setiap orang, dan pasukan berharap apabila seseorang boleh melihat kematian dengan lebih rasional, mereka mungkin akan lebih menghargai kehidupan sekarang.
Aplikasi Demumu

Selain China, aplikasi ini turut tersedia di luar negara dengan nama Demumu, termasuk di Malaysia. Sehingga artikel ini ditulis, ia menduduki carta kelima aplikasi berbayar App Store di Malaysia, dengan harga RM4.90.
{suggest}
