Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Ads ChatGPT

Apabila Chatbot Diselit Iklan, Privasi Pengguna Jadi Taruhan

Diterbitkan Februari 16, 2026 oleh ariff bukhari

Pengenalan iklan dan kandungan tajaan dalam chatbot mencetuskan kebimbangan privasi dalam kalangan pengguna AI, ketika jenama berlumba-lumba kekal relevan dalam persekitaran dalam talian yang berubah pantas.

Pembangun ChatGPT, OpenAI, mula memaparkan iklan dalam perbualan chatbot bagi pengguna percuma dan pelan kos rendah sebagai usaha mengimbangi komitmen perbelanjaan bernilai ratusan bilion dolar dengan sumber pendapatan baharu.

Langkah itu segera diperlekehkan pesaingnya, Anthropic, yang membina reputasi atas aspek keselamatan dan perlindungan data.

Iklan Anthropic semasa Super Bowl minggu lalu memaparkan seorang lelaki meminta nasihat daripada AI perbualan, sebelum sistem itu menyelitkan promosi laman janji temu dalam jawapannya.

Ketua OpenAI, Sam Altman, membalas dengan menyifatkan klip tersebut sebagai “jelas tidak jujur”.

Selain OpenAI, Microsoft telah menyiarkan iklan kontekstual dan kandungan tajaan dalam pembantu AI Copilot sejak 2023.

Enjin carian AI Perplexity pula menguji iklan di Amerika Syarikat sejak 2024, manakala Google turut menguji iklan dalam ciri “AI overviews” pada enjin cariannya.

Privasi Data

Google berulang kali menafikan hasrat untuk menyiarkan iklan dalam chatbot Gemini. Ketua unit AI DeepMindnya, Demis Hassabis, berkata iklan “perlu dikendalikan dengan amat berhati-hati”.

“Perkara paling penting” dalam AI ialah “kepercayaan terhadap keselamatan dan privasi, kerana anda mungkin berkongsi kehidupan anda dengan pembantu itu,” katanya.

OpenAI memberi jaminan bahawa respons ChatGPT tidak akan diubah oleh iklan, yang dipaparkan di samping perbualan dan bukannya disepadukan dalam jawapan. Syarikat itu juga berjanji tidak menjual data pengguna kepada pengiklan.

Penganalisis Emarketer, Nate Elliott, berkata syarikat AI bimbang penjualan iklan akan menakutkan pengguna.

Namun menurut Jerome Malzac dari firma perunding AI Micropole,

“Apabila ia percuma, anda adalah produknya. Ia risiko yang kita sedar.”

Pengubah Permainan

Ketua Direct Online Marketing, Justin Seibert, menyifatkan perkembangan ini sebagai “pengubah permainan” untuk seluruh industri.

Penganalisis bank HSBC meramalkan pembantu AI boleh meraih sehingga dua peratus pasaran pengiklanan dalam talian menjelang 2030.

Banyak jenama kini memberi keutamaan kepada keterlihatan dalam saluran baharu ini, termasuk rangkaian pasar raya AS Target dan pembuat perisian Adobe.

Selain membeli ruang iklan, syarikat turut berusaha memastikan produk mereka muncul dalam respons organik chatbot melalui strategi dikenali sebagai GEO (Generative Engine Optimisation), evolusi kepada SEO ketika era dominasi Google.

Syarikat pemula Perancis GetMint mendakwa mempunyai 100 pelanggan termasuk jenama fesyen Lacoste.

Menurut Malzac, teknik termasuk merujuk kajian saintifik, menambah seksyen soalan lazim (FAQ), serta memastikan maklumat tersusun dan sentiasa dikemas kini boleh membantu.

“Jika jenama anda tidak dirujuk (oleh chatbot), ia seolah-olah tidak lagi wujud bagi sesetengah pengguna,” katanya.

– AFP.

Berkaitan

  • Kami Dah Putus Asa “Dera” vivo V60 Lite 5G Ni
  • OpenAI Mula Uji Iklan Dalam ChatGPT Untuk Akaun Percuma, Go
  • RM5.9 Bilion Untuk Infrastruktur Dan Bakat AI Negara

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Projek Pusat Data Tidak Akan Diluluskan Di Negeri Yang Kekurangan Bekalan Air - Johari Ghani
  • Siri vivo X500 Dijual Mulai 3 November, Tawar Ganjaran Lebih RM3,400
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
©2026 WISER.MY