Terma high fidelity (Hi-Fi) atau high resolution (Hi-Res) sebenarnya bukanlah sekadar nama pemasaran atau gimik mempromosikan produk audio. Secara mudahnya ia merujuk kepada kategori kualiti audio yang lebih bagus berbanding audio biasa.
Melihat kepada definisi oleh The Recording Academy, audio beresolusi tinggi (hi-res) boleh didefinisikan sebagai audio yang mampu memainkan julat penuh rakaman lebih baik dari kualiti muzik CD.
Dengan kata lain, audio hi-res adalah fail muzik yang mempunyai maklumat dan data lebih tinggi dari CD, yang dispesifikkan kepada 16-bit/44.1kHz.
Pada tahun 2014, hi-res atau hi-fi kemudiannya mendapat definisi baharu oleh The Recording Industry Association of America yang mengatakan audio hi-res adalah rakaman audio yang lebih baik dari kualiti CD yang berkadar 48kHz/20-bit.
Dibandingkan dengan format MP3, kadar bit untuk MP3 hanya boleh mencapai maksimum 320kbps sedangkan CD lebih tinggi dengan 1,411kbps.
Lebih banyak bit audio tersebut, lebih banyaklah data yang terkandung menandakan lebih banyak instrumen dan bunyi yang boleh didengar.
Audio hi-res kebiasannya memiliki frekuensi pada 96kHz atau 192kHz pada 24 bit, jauh lebih tinggi dari muzik dalam CD. Namun boleh jadi juga audio itu lebih tinggi dari frekuensi dan bit tersebut.
Dan disebabkan ia mempunyai banyak maklumat di dalamnya, fail audio hi-res mempunyai saiz yang sangat besar kebiasannya mencecah beratus-ratus MB.
Sebagai contoh sebuah lagu MP3 kebiasaannya mencecah saiz sekitar 5-10MB, lagu hi-res pula boleh mencapai sehingga 600MB!
Akan tetapi, untuk mendapatkan audio hi-res ini, ia tidaklah semudah membeli sebuah fon kepala Sony WH-1000XM4 dan mendengar lagu di YouTube. Terdapat beberapa perkara yang perlu anda tahu jika anda mahu mendengar kualiti audio yang beresolusi tinggi ini.
Secara mudahnya, ada 2 aspek utama yang perlu diketahui jika anda betul-betul mahu mendengar audio hi-res iaitu:
- Format fail lagu
- Platform dengar lagu
Format Fail Lagu
Sebenarnya tiada satu-satunya format lagu dalam audio hi-res kerana terdapat banyak organisasi atau badan yang masing-masing telah menghasilkan format hi-res mereka sendiri.
Ini merupakan perbandingan kebanyakan format audio yang digunakan di seluruh dunia:
- MPEG-1 Audio Layer III – MP3 (bukan hi-res): Paling popular, audio dimampatkan untuk memastikan saiz fail kecil. Bukan destinasi jika mahu audio terbaik.
- Advanced Audio Coding – AAC (bukan hi-res): Lebih baik dari MP3, tetapi masih lagi audio jenis mampat. Contoh sokongan adalah di Apple Music, iTunes, dan penstriman YouTube.
- Waveform Audio – WAV (hi-res): Audio yang tidak dimampatkan. Kualiti audio sangat baik tetapi kurang sokongan metadata seperti poster lagu, nama artis dan juga nama lagu.
- Audio Interchange File Format – AIFF (hi-res): Alternatif Apple untuk WAV dengan sokongan metadata lebih baik. Tetapi kurang popular.
- Free Lossless Audio Codec – FLAC (hi-res): Format hi-res paling popular. Saiz fail kebiasaannya separuh dari WAV. Sumber terbuka dan sokongan meluas kecuali Apple. Lazimnya format yang biasa digunakan untuk audio hi-res.
- Apple Lossless Audio Codec – ALAC (hi-res): Alternatif Apple untuk FLAC. Digunakan di iTunes dan juga mesra iOS.
- Direct Stream Digital – DSD (hi-res): Format digunakan untuk Super Audio CD (format untuk penyimpanan audio dan direka sebagai pengganti kepada CD). Sokongan tidak meluas.
- Master Quality Authenticated – MQA (hi-res): Format hi-res memfokuskan kepada saiz fail lebih kecil. Digunakan di penstriman Tidal Master.
Seperti yang disenaraikan, banyak sahaja format yang menyokong audio hi-res di mana masing-masing mempunyai perbezaan bukan sahaja dari segi sokongan kadar bit tetapi yang paling utama adalah platform dan juga popolariti.
Jika anda mendengar lagu-lagu dari format hi-res tersebut, ia jauh lebih baik dari format MP3 yang sangat biasa didengar.
Pun begitu, jika audio FLAC tersebut mempunyai kualiti rakaman yang rendah seperti menggunakan mikrofon biasa-biasa, audio MP3 pun masih tetap boleh mempunyai kualiti audio lebih baik.
Ia bergantung kepada kadar bit dalam sesuatu lagu itu. Lebih tinggi kadar bit, lebih banyak maklumat yang boleh didengar.
Platform Audio
Namun, jika hanya sekadar audio format hi-res pun masih belum cukup kerana anda memerlukan sokongan platform untuk memainkan audio tersebut.
Platform yang dimaksudkan adalah produk audio seperti pembesar suara, telefon pintar, fon telinga, fon kepala dan lain-lain yang merujuk kepada hal yang sama.
Untuk memainkan audio hi-res, produk audio tersebut perlulah menyokong frekuensi sekurang-kurangnya 40,000Hz atau 40kHz ke atas. Kebanyakan produk audio yang menyokong sehingga 20,000Hz atau 20kHz masih tidak mampu untuk memainkan lagu dalam hi-res.
Spesifikasi frekuensi ini sangat mudah dicari jika anda melihat butiran spesifikasi produk tersebut. Sebagai contoh, Razer Kraken X yang berharga RM200 mampu memainkan audio frekuensi 12Hz – 28kHz manakala model yang lebih mahal seperti Sony MDR-Z7M2 berharga RM2000 mampu memainkan julat frekuensi jauh lebih luas iaitu 4Hz – 100,000Hz.
Membandingkan dengan model fon telinga lebih murah berharga RM90 seperti Xiaomi Mi In-Ear Pro, julat frekuensinya lebih kecil iaitu 20Hz – 20KHz.
Jika sesebuah produk audio itu mempunyai logo Hi-Res Audio padanya, itu masih belum bermakna ia menyokong audio hi-res, cara paling efektif untuk melihat sokongan hi-res adalah melalui julat frekuensi pada spesifikasinya.
Mana Nak Dapat Lagu Hi-Res?
Sesudah mendapatkan perkakasan audio hi-res dan mengetahui format audio, bagaimana mahu mendapatkan pustaka lagu yang menyokong hi-res untuk pengalaman audio yang memuaskan?
Anda boleh sahaja cari di internet fail FLAC sesebuah lagu kegemaran anda, namun cara yang lebih memudahkan adalah mendengar dari penstriman seperti Tidal dan Deezer yang menyokong format audio sebegini.
Spotify pula bagaimana? Adakah ia menyokong hi-res? Jawapannya tidak walaupun pada Spotify Premium yang mana ia menggunakan kadar bit 320kbps (sama seperti kadar bit maksimum MP3).
Sebagai perbandingan Tidal menyokong sehingga 1,411kbps untuk HiFi manakala Master pula lebih tinggi pada 9,216kbps. Sementara Deezer pula menyokong sehingga 1,411kbps.
Tetapi jangan risau, Spotify baru-baru ini telah mengumumkan bakal hadir dengan penstriman hi-res yang akan dilancarkan tahun ini juga. Jadi, ia masih lagi mempunyai pilihan untuk para audiofil, cuma pada masa akan datang dan bukan ketika ini.
Peringatan
Satu perkara yang anda perlu sematkan adalah manusia dilahirkan dengan berbagai-berbagai ragam dan sudah tentu setiap pendengaran kita juga turut berbeza.
Ada juga pengguna yang tidak boleh membezakan audio hi-res seperti FLAC dengan audio MP3 biasa. Dan ia sebenarnya normal kerana kebanyakan audiofil dan pakar audio adalah pengguna terlatih yang sudah lazim mendengar julat frekuensi lebih luas dari pengguna biasa.
Ini bermaksud, jika anda masih tidak dapat mencari perbezaan antara fon telinga berharga RM5,000 dengan fon telinga RM200, mungkin fon telinga harga biasa-biasa pun sudah cukup memadai untuk kita semua.
Rumusannya, pembaca tidaklah perlu mengejar pengalaman audio hi-res ini dengan membeli keperkakasan audio mahal dan juga melanggan penstriman premium. Jika apa yang anda dengar sudah cukup sedap dan merasakan tidak perlukan mana-mana naik taraf, mungkin setakat itu sahaja kemampuan mendengar kita.
Anda sebenarnya tidak perlu terikut-ikut dengan pemasaran atau hasutan rakan-rakan yang mengatakan sesuatu produk audio itu bagus. Telinga kita, kita yang dengar, kita yang nilai. Jika orang lain cakap sesuatu fon kepala mahal itu best, tidak bermakna anda dapat mendengar kualiti audio yang sama sepertinya.
Namun, jika anda mahu melatih pendengaran anda dan mahu mencari perbezaan antara audio hi-res dengan yang biasa, sememangnya terdapat keperluan untuk mendengar audio sebegini.
Pendek kata, untuk mendengar audio hi-res ini, ia tidaklah semudah membeli sebuah fon kepala Sennheiser berharga RM10,000 dan katakan kepada rakan bahawa anda sedang dengar lagu hi-res sedangkan anda sedang mendengar muzik dari MP3 sahaja.