Apa Itu YouTube Signature Device Dan Apakah Kelebihannya?


Kesemua telefon pintar boleh dikatakan mampu digunakan untuk menonton YouTube.





Namun tahukah anda bukan kesemua pengalaman menonton YouTube itu sama untuk kesemua telefon.





Disebabkan itulah, YouTube mengeluarkan senarai YouTube Signature Device untuk memastikan hanya telefon-telefon tertentu sahaja yang mempunyai pengalaman menonton berbeza dengan telefon lain.





Akan tetapi, tahukah anda apa maksud sebenar jika sesebuah telefon disenaraikan dalam YouTube Signature Device?









Apakah kelebihannya yang menjadikan bukan kesemua telefon masuk ke dalam senarai ini?





Artikel ini akan menceritakan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan YouTube Signature Device dan apakah kelebihannya.





Pengenalan Kepada YouTube Signature Device





YouTube Signature Device merupakan piawaian yang telah ditetapkan oleh YouTube untuk memastikan telefon mempunyai pengalaman menonton YouTube yang terbaik.









Sebelum mana-mana telefon itu perlu disenaraikan dalam senarai YouTube Signature Device, pengeluar telefon tersebut perlu mengujinya terlebih dahulu melalui ujian dari YouTube untuk memastikan ia mencapai piawaian yang telah ditetapkan.





Syarat-Syarat Untuk Disenaraikan Dalam YouTube Signature Device





Terdapat 6 syarat utama yang memerlukan sesuatu jenama itu untuk menyokong YouTube Signature Device.





Ia juga bertindak sebagai 6 teknologi teras yang membezakan antara telefon YouTube Signature Device berbanding telefon yang lain.





1. HDR





HDR atau high dynamic range memastikan anda boleh melihat lebih banyak perincian dengan warna yang lebih hidup.





HDR juga dapat memastikan telefon menayangkan kandungan dalam kontras yang lebih tinggi.









Secara ringkasnya, anda akan lebih mudah untuk melihat kandungan walaupun ia terlalu gelap atau terlalu cerah tanpa mencacatkan kandungan video.





Setakat ini, terdapat beberapa teknologi HDR yang dimuatkan dalam telefon pintar. yang popular adalah HDR10, HDR10+, dan juga Dolby Vision.





Secara tidak langsung, telefon anda perlu menyokong teknologi HDR ini sebagai langkah pertama sebelum disenaraikan dalam YouTube Signature Device.





2. Video 360°





Pernahkah anda melihat mana-mana video di YouTube yang memaparkan video yang boleh berpusing secara 360°?





Secara spesifiknya, tidak diketahui dengan mendalam bagaimana YouTube menentukan bagaimana telefon boleh menyokong teknologi video 360°.









Namun apa yang pasti, sudah tentu ia berkait rapat dengan sensor gyroscope atau sensor accelerometer yang membantu telefon mengenalpasti lokasi dan posisi ia dipegang oleh pengguna.





Dengan video 360° juga, pengguna boleh menonton kandungan secara realiti maya (VR) yang lebih imersif. Sebagai contoh, ramai yang menggunakan alat VR untuk merasai sendiri pengalaman menaiki roller coaster tanpa perlu pergi ke tempat tersebut.









3. Penyahkodan 4K





Bukan kesemua telefon menyokong paparan dengan resolusi 4K. Namun apa yang penting dalam YouTube Signature adalah telefon tersebut boleh untuk main balik kandungan atau membaca kandungan 4K.









Dengan penyahkodan 4K, ia dapat memastikan pengguna melihat kandungan dengan lebih perincian dalam realiti maya.





Makna tersirat di sebalik syarat ini adalah telefon anda juga seharusnya mempunyai pemprosesan grafik yang agak tinggi.





Bermakna jika telefon anda kelas pertengahan atau permulaan, secara logiknya pemprosesan grafik adalah lemah





4. Sokongan Kadar Segar Semula Tinggi





YouTube buat masa ini hanya mampu untuk memainkan video dengan maksimum bingkai 60fps.





Namun, untuk masuk ke YouTube Signature Device, telefon itu juga seharusnya mampu untuk memainkan kandungan 60fps tanpa sebarang masalah.









Ini termasuklah tiada masalah tersekat-sekat ketika melihat kandungan 60fps.





Syarat ini juga lebih berpihak kepada kekuatan pemprosesan grafik kerana untuk telefon kelas permulaan yang murah, ia kebiasaannya kurang tegap untuk memainkan kandungan 60fps tanpa sebarang masalah.





5. Sokongan Video Codec VP9





Dengan telefon YouTube Signature Device, telefon boleh lebih jimatkan data ketika menonton kandungan kerana ia menyokong codec video VP9.









Dengan codec ini, sehingga 30% jalur lebar boleh dijimatkan.





Codec VP9 ini mula disokong dalam Android sejak dari Android Kitkat 4.0. Namun, ia bergantung juga kepada jenis cip sama ada ia menyokongnya atau tidak.





Ia juga bermaksud bukan kesemua telefon menyokong codec VP9 ini. Apa yang pasti, jika cip anda merupakan cip kelas mercu seperti Snapdragon 820 dan ke atas, ia menyokong codec ini.





6. Prestasi Digital Rights Management (DRM)





Melalui syarat ini, YouTube boleh memainkan kandungan hak cipta orang lain secara sah terus pada telefon pintar.









Secara ringkasnya, ia merupakan lesen untuk memastikan kandungan yang anda mainkan itu bukannya dari cetak rompak atau dari sumber tidak sah.





Senarai Telefon Pintar Yang Menyokong YouTube Signature Device





Dengan 6 syarat itu, YouTube telah menyenaraikan kesemua telefon yang menyokong YouTube Signature Device. Ini merupakan antara model mereka:





  • ASUS: ROG Phone 2
  • Google: Pixel 3a, 3a XL, 3, 3 XL, 4, 4XL
  • HTC: U12+
  • Huawei: P30, P30 Pro, Mate 20, Mate 20 X, Mate 20 Pro, P20, P20 Pro, Mate 10 Pro
  • Honor: View20
  • LG: V60 ThinQ 5G, G8X ThinQ, G8 ThinQ, V50 ThinQ, V40 ThinQ, V35 ThinQ, V30, G7 ThinQ
  • Motorola: One Fusion+, Edge, Edge+
  • Nokia: 8 Sirocco
  • OPPO: Find X2 Pro
  • OnePlus: 8, 8 Pro, 7T, 7 Pro, 7, 6T, 6, Nord
  • Samsung: Galaxy S10+, Galaxy S10, Galaxy S10e, Galaxy Note 9, Galaxy S9, Galaxy S9+, Galaxy Note 8, Galaxy S8, Galaxy S8+
  • Sony: Xperia XZ3, Xperia XZ2 Premium, Xperia XZ2, Xperia XZ2 Compact
  • Xiaomi: Mi 8, Mi Mix 2S




Jika anda perhatikan, dalam senarai ini, banyak juga yang masih belum menyokong YouTube Signature Device seperti contoh Galaxy S20 ataupun Sony Xperia 1 ii.





Mungkin ia tidak diuji dalam ujian YouTube Signature Device atau juga melibatkan faktor-faktor lain yang tidak diketahui.





Apa yang pasti, senarai ini akan ditambah dari semasa ke semasa dan pengeluar boleh meminta untuk YouTube menambah model telefon mereka ke dalam senarai.





Mungkin anda perasan, tiada iPhone dalam senarai tersebut, ini adalah kerana iPhone tidak menyokong codec VP9 sendiri.





Rumusan





Senarai telefon yang menyokong YouTube Signature Device tersebut hanyalah bermaksud ia merupakan piawaian tertinggi yang ditetapkan oleh YouTube untuk pengguna menonton kandungan dalam pengalaman yang paling memuaskan.





Jika telefon anda tidak menyokong YouTube Signature Device pun, asalkan anda puas menonton kandungan YouTube, itu pun sudah memadai.





Sumber: YouTube Signature Device


Berkaitan