Anda Bakal Tunaikan Haji? Ini Tips Untuk Elak Bil Telefon Dari Melambung Ketika Berada Di Tanah Suci

Musim haji 2018 sudahpun bermula bulan lalu dengan penerbangan pertama telah berlepas pada 14 Julai lepas.

Pastinya jemaah haji yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur sudah mempersiapkan segala macam kelengkapan untuk bertandang ke Tanah Suci.

Bagi yang kerap kali berkunjung keluar negara, salah satu perkara yang diambil perhatian adalah penggunaan perayauan antarabangsa, memudahkan kita berkomunikasi dengan kaedah yang betul.

Tetapi sedikit menggusarkan bagi jemaah haji yang tidak mempunyai pengalaman keluar negara, lebih-lebih lagi golongan yang berusia, mungkin mengalami kejutan bil telefon sesudah pulang ke Malaysia kelak.

Bagi mengelakkan isu bil telefon melambung akibat perayauan antarabangsa, berikut merupakan tips yang dikongsikan oleh CFM.

1.Rujuk penyedia telco anda sebelum keluar negara



Fahami dahulu caj dan maklumat tentang perayauan antarabangsa yang dikenakan sekiranya anda membuat panggilan atau menggunakan data diluar negara. Boleh telefon atau berkunjung ke laman web telco anda.

2. Elak guna dua kad sim dalam sebuah telefon



Kebanyakkan kita mempunyai dua nombor dan diletakkan pada satu telefon. Sekiranya tidak arif dengan tetapan dwi sim, seeloknya kad sim tempatan untuk tujuan panggilan diletakkan pada telefon bimbit sementara telefon pintar boleh digunakan untuk sambungan WiFi.

3. Beli kad sim antarabangsa



Beli kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia (dalam talian atau dilapangan terbang) untuk memudahkan penggunaan ketika di Tanah Suci.

4. Beli kad sim tempatan usai tiba di Arab Saudi



Gunakan penyedia telco di Arab Saudi untuk komunikasi ketika di mengerjakan ibadah haji. Boleh minta pandangan petugas Tabung Haji bagi memilih telco mana yang terbaik.

5. Jangan aktifkan "Sambungan Automatik ke Rangkaian"



Satu lagi cara untuk elakkan bil telefon anda dari melambung.

6. Aktifkan mode "Airplane" dan guna sambungan WiFi awam



Untuk lebih selamat gunakan sahaja sambungan wifi awam yang tersedia di Mekah.

7. Guna aplikasi seperti WhatsApp untuk komunikasi



Aplikasi pemesejan segera seperti WhatsApp sudah mempunyai ciri panggilan suara mahupun video. Anda boleh gunakannya untuk elakkan caj tinggi pada bil telefon ketika menggunakannya diluar negara.

Itulah dia tips yang boleh anda turuti jika mahu elakkan isu bil telefon melambung disebabkan perayauan antarabangsa.

Bagi anda yang mempunyai ibu bapa yang kurang arif mengenai hal ini, bolehlah tunjuk ajar mereka.

Selain itu, buat juga salinan kenalan dan data penting dalam telefon dan muat naik ke storan awan sebagai langkah keselamatan tambahan. Jika telefon hilang, sekurang-kurangnya ada data sandaran yang boleh diakses secara dalam talian.

Anda mempunyai masalah yang belum selesai walaupun sudah dilapor kepada pihak penyedia perkhidmatan? Anda boleh panjangkan ia ke CFM untuk nasihat dan tindakan yang selanjutnya.