Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Amazon Umum Akan Buang 14,000 Pekerja, Labur Besar Untuk AI

Amazon Umum Akan Buang 14,000 Pekerja, Labur Besar Untuk AI

Diterbitkan Oktober 29, 2025 · Dikemas kini Oktober 29, 2025 oleh ariff bukhari

Gergasi e-dagang dan pengkomputeran awan Amazon pada Selasa mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan tenaga kerja sebanyak 14,000 jawatan bagi memperkemas operasi, sambil terus melabur besar dalam kecerdasan buatan (AI).

Dalam kenyataannya, Amazon berkata langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk “mengurangkan birokrasi, menghapuskan lapisan pengurusan yang berlebihan, dan menumpukan sumber kepada bidang pelaburan utama serta keperluan pelanggan masa kini dan masa depan.”

“Walaupun ini melibatkan pengurangan dalam beberapa bahagian dan pengambilan pekerja dalam bahagian lain, ia akan membawa kepada pengurangan keseluruhan kira-kira 14,000 jawatan korporat,” kata Naib Presiden Kanan Amazon, Beth Galetti, dalam kenyataan tersebut.

Galetti menyifatkan AI sebagai teknologi paling transformatif sejak kemunculan Internet, sambil menambah bahawa ia membolehkan syarikat “berinovasi lebih pantas berbanding sebelumnya.”

Media AS pada Isnin sebelum ini melaporkan bahawa pemberhentian besar-besaran sedang dirancang, dengan jumlah keseluruhan di seluruh dunia dijangka mencecah 30,000 pekerjaan dalam beberapa bulan akan datang.

Laporan itu menyatakan bahawa pengurangan akan memberi kesan kepada jabatan sumber manusia, pengiklanan dan pengurusan, dalam kumpulan yang mempunyai 350,000 pekerja pejabat daripada lebih 1.5 juta pekerja keseluruhan.

Bagaimanapun, pekerja gudang dan pusat pengedaran — yang membentuk majoriti tenaga kerja Amazon — tidak dijangka terjejas, kata Galetti, sambil menjelaskan bahawa pemberhentian kali ini hanyalah langkah pertama.

“Menjelang tahun 2026, kami menjangka akan terus mengambil pekerja dalam bidang strategik utama, sambil mencari lebih banyak ruang untuk menghapuskan lapisan pengurusan, meningkatkan kecekapan dan memperkukuh pemilikan dalaman,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Andy Jassy, sebelum ini menegaskan bahawa AI akan mengubah cara syarikat beroperasi, daripada perkhidmatan pelanggan sehinggalah kepada kecekapan pejabat.

“Keyakinan kami bahawa AI akan mengubah setiap pengalaman pelanggan kini semakin jelas,” katanya dalam laporan kewangan suku tahunan syarikat baru-baru ini.

Amazon dijangka mengumumkan laporan pendapatan terbaharunya pada Khamis ini, di tengah-tengah tekanan besar terhadap gergasi teknologi untuk membuktikan pulangan pelaburan mereka dalam AI.

Syarikat itu juga dijangka menjawab pertanyaan mengenai gangguan besar Amazon Web Services (AWS) minggu lalu yang menyebabkan pelbagai platform global — termasuk Prime Video, Disney+, Fortnite, Airbnb, Snapchat, Signal, WhatsApp dan beberapa bank seperti Lloyd’s — tergendala selama beberapa jam.

Gangguan itu berpunca daripada isu pada sistem Domain Name System (DNS) dalam rangkaian awan Amazon, yang menonjolkan betapa besarnya kebergantungan dunia digital terhadap infrastruktur syarikat tersebut. – AFP

Berkaitan

  • ‘Trade-In’ Dengan Maxis, Dapat Telefon Baru Dari RM0
  • Amazon Dilapor Bakal Buang 30,000 Pekerja Pejabat
  • Uber & Nvidia Bakal Lancar 100,000 Teksi Robot Menjelang 2027

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Projek Pusat Data Tidak Akan Diluluskan Di Negeri Yang Kekurangan Bekalan Air - Johari Ghani
  • Siri vivo X500 Dijual Mulai 3 November, Tawar Ganjaran Lebih RM3,400
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
©2026 WISER.MY