Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AFP

Amazon Dilapor Bakal Buang 30,000 Pekerja Pejabat

Diterbitkan Oktober 28, 2025 oleh ariff bukhari

Gergasi e-dagang dan teknologi Amazon dilaporkan akan memberhentikan puluhan ribu pekerja pejabat bagi mengurangkan kos, di tengah-tengah peningkatan pelaburan syarikat itu dalam bidang kecerdasan buatan (AI), menurut laporan media Amerika Syarikat.

Langkah penjimatan ini dijangka bermula Selasa, melibatkan kira-kira 30,000 jawatan, menurut laporan Wall Street Journal, New York Times dan beberapa sumber lain.

Pengurangan ini mewakili hampir 10% daripada 350,000 pekerjaan pejabat di Amazon, namun tidak akan menjejaskan pekerja gudang dan pusat pengedaran, yang membentuk sebahagian besar daripada 1.5 juta tenaga kerja syarikat itu di seluruh dunia.

Amazon yang berpangkalan di Seattle belum memberikan sebarang maklum balas kepada pertanyaan AFP mengenai laporan pemberhentian tersebut.

Harga saham Amazon meningkat sedikit pada akhir sesi dagangan selepas berita mengenai langkah penjimatan itu tersebar.

Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Andy Jassy, sebelum ini menegaskan bahawa AI berpotensi besar untuk meningkatkan kecekapan operasi, termasuk dalam perkhidmatan pelanggan dan pengurusan pejabat.

“Keyakinan kami bahawa AI akan mengubah setiap pengalaman pelanggan kini semakin terbukti,” katanya dalam laporan kewangan suku tahunan terakhir syarikat itu.

Amazon dijangka mengumumkan laporan kewangan terbaharu pada Khamis ini, di tengah tekanan untuk membuktikan nilai sebenar pelaburannya yang besar dalam AI.

Menurut penganalisis utama Emarketer, Sky Canaves, bahagian Amazon Web Services (AWS) kini berada di bawah tekanan untuk menunjukkan pertumbuhan pendapatan dan peningkatan margin operasi hasil pelaburan besar dalam AI.

Amazon juga dijangka ditanya mengenai gangguan besar perkhidmatan AWS minggu lalu, yang menyebabkan pelbagai platform internet – termasuk Prime Video, Disney+, Fortnite, Airbnb, Snapchat, Duolingo, Signal dan WhatsApp – tergendala selama beberapa jam.

Gangguan itu turut menjejaskan beberapa bank seperti Lloyd’s, yang mengesahkan masalah berpunca daripada sistem AWS Cloud Computing.

Amazon kemudian menjelaskan bahawa punca insiden itu adalah isu pada sistem Domain Name System (DNS), iaitu komponen utama yang berfungsi sebagai “buku alamat internet”.

AWS kekal sebagai peneraju pasaran pengkomputeran awan global, diikuti oleh Microsoft Azure dan Google Cloud, yang menyediakan infrastruktur penting kepada perniagaan, kerajaan dan pengguna di seluruh dunia. – AFP.

[suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Berkaitan

  • Pekerja TikTok Di Malaysia Dan UK Tergugat Dengan Gelombang AI
  • PC AIO Yang Buat Meja Kerja Nampak Lebih Kemas
  • 600 Pekerja AI Meta Dilapor Akan Dipindah Atau Diberhentikan

Terbaru

  • Projek Pusat Data Tidak Akan Diluluskan Di Negeri Yang Kekurangan Bekalan Air - Johari Ghani
  • Siri vivo X500 Dijual Mulai 3 November, Tawar Ganjaran Lebih RM3,400
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
©2026 WISER.MY