Hutan hujan Amazon makin menghampiri titik kritikalnya yang boleh membawa kepada keruntuhan berskala besar dengan implikasi serius terhadap sistem iklim global.
Kajian Nature baharu oleh pasukan penyelidik antarabangsa termasuk saintis dari Institut Potsdam untuk penyelidikan Kesan Iklim (PIK) mendedahkan bahawa 47% daripada hutan Amazon kini terancam.
Kesan daripada peningkatan suhu, kemarau, penebangan hutan dan kebakaran di bahagian tengah dan terpencil hutan itu melemahkan mekanisme daya tahan semula jadi Amazon, mendorong sistem ini ke arah ambang kritikal.
Kajian itu mendapati bahawa menjelang tahun 2050, 10% hingga 47% daripada hutan Amazon akan terancam.
Orang Asli keluar dari hutan
Paling terkesan dengan kemusnahan berterusan hutan Amazon ini sudah tentunya penduduk asal di dalam hutan itu di mana baru-baru ini media melaporkan keadaan yang sangat-sangat jarang berlaku.
Ia selepas sekumpulan manusia dari puak asli Mashco Piro, suku Orang Asli yang tidak berhubung dengan dunia luar dilihat keluar ke tebing sungai berhampiran.

Menurut kumpulan hak asasi Orang Asli tempatan FENAMAD, puak terasing itu dilihat keluar dari hutan hujan dengan lebih kerap dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk mencari makanan yang nampaknya menjauhkan diri daripada kehadiran pembalak yang semakin meningkat menceroboh di kawasan mereka.
Pembalak
Beberapa syarikat pembalakan memegang konsesi balak di dalam wilayah yang didiami oleh Mashco Piro.
Salah sebuah syarikat konsesi, Canales Tahuamanu, telah membina jalan lebih daripada 200 kilometer untuk trak pembalakannya mengeluarkan kayu, menurut Survival International.
Syarikat itu diperakui oleh Majlis Pengawasan Hutan, yang menurutnya ia mempunyai 53,000 hektar (130,000 ekar) hutan di Madre de Dios untuk mengekstrak cedar dan mahogani.
Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), Amazon berisiko mencapai titik kritis yang tidak dapat dipulihkan.
Menurut organisasi itu, antara 1985 dan 2021, Amazon telah kehilangan kawasan hutan hujan dan tumbuh-tumbuhan asli lain yang bersamaan tiga kali ganda saiz UK.
Amazon adalah sangat penting kepada dunia kerana ia membantu menstabilkan iklim di mana 150 hingga 200 bilion tan karbon disimpan di hutan hujan Amazon.
Pokok-pokok di Amazon juga melepaskan 20 bilion tan air ke atmosfera setiap hari, memainkan peranan penting dalam kitaran karbon dan air global dan serantau.
{suggest}
Sumber: Technology Networks, Reuters