Alumni USM Gabungkan Wayang Kulit Dengan Teknologi Robotik

Tidak mahu persembahan wayang kulit hilang ditelan zaman, alumni dari Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) bernama Ahnaf Hakimi Ahmad, 33 mengambil inisiatif mengetuai sekumpulan individu bagi melaksanakan projek khusus persembahan wayang kulit dengan menggabungkan teknologi robotik bersama-sama seni persembahan wayang kulit pertama di negara ini.

Dinamakan sebagai Wayang Kulit Animatronik (WKA), cara  persembahannya adalah sama seperti wayang kulit tradisional.

Cuma yang membezakannya adalah WKA sepenuhnya dikendalikan secara robotik tanpa perlu melibatkan kehadiran fizikal pemain wayang kulit termasuk Tok Dalang, pemuzik, krew dan lain-lain.

Ahnaf Hakimi yang merupakan bekas graduan ijazah Sarjana Muda Seni Halus, 2015 dan Sarjana Instruksi Multimedia (2018) berkata, idea untuk menghasilkan WKA mula tercetus apabila terdapat kurangnya persembahan wayang kulit pada masa kini.

Persembahan Wayang Kulit Animatronik  ini sedang ditayangkan di Muzium Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia bermula dari 1 Julai dan akan berakhir pada 30 Julai 2022 ini yang dibuka pada hari isnin hingga sabtu dari jam 10 pagi hingga 4 petang.

Sumber: USM